Membawang Hari Ini

Emma Maembong sedia dikritik

SEJAK memasuki dunia hiburan, kisah selebriti pastinya tidak lekang daripada menjadi bualan ramai sama ada dilempar dengan cerita positif atau negatif.

Mungkin bagi pelakon baharu, perkara itu dilihat agak mengganggu kehidupan peribadi mereka, namun bagi selebriti yang sudah punyai banyak pengalaman, perkara itu menjadi perkara biasa bagi mereka.

Tambahan lagi apabila kehidupan seharian selebriti itu bakal ditayangkan kepada khalayak umum. Pastinya sikap sebenar mereka bakal terdedah daripada program sedemikian.

Bagi pelakon, Emma Maembong, dia mengakui sudah bersedia menerima kritikan daripada penonton apabila menjayakan satu program realiti digital berjudul The House bersama dua lagi adik beradiknya Cha Cha dan Yaya.

Menurutnya, rancangan pertama kali diadakan di saluran Astro Gempak itu akan menonjolkan pelbagai karenah tiga beradik itu yang tinggal dalam sebuah rumah dan perlu menyelesaikan ujian setiap hari.

“Sebenarnya sebelum kami bersetuju menerima tawaran tersebut, kami berbincang terlebih dahulu dengan pihak Astro dan keluarga sendiri.

“Kerana program ini secara tidak langsung akan membuka aib keluarga dengan karenah spontan kami tiga beradik dalam menyelesaikan ujian.

“Pastinya penonton yang akan menonton tidak percaya dengan perangai kami dalam program itu. Tetapi itu bukan perlakuan yang dibuat-buat tetapi perangai sebenar kami.

“Oleh itu, saya sudah bersedia jika ada pihak yang mengkritik perangai saya di dalam program tersebut, kerana jika tidak masuk pun, orang tetap mengkritik saya,” katanya kepada Zass ketika ditemui pada majlis pelancaran program The House itu, baru-baru ini.

Program realiti itu akan ditayangkan terlebih dahulu di portal Astro Gempak atau www.thehouse.com.my pada setiap Rabu jam 4 petang bermula 28 Oktober ini.

Ia kemudian diikuti dengan siaran televisyen akan disiarkan di saluran Astro Ria dan Astro Ria HD pada setiap hari Isnin jam 9.30 malam bermula 2 November ini.

Emma atau nama sebenarnya Fatimah Rohani Ismail, 23, juga memberitahu, gurauan sesama adik beradiknya sejak azali memang agak kasar, dan mungkin ia akan menimbulkan kehairanan kepada penonton rancangan The House.

“Kami adik beradik memang bergurau agak kasar, seperti sepak terajang, tarik rabut dan suka menjerit, jadi dalam program itu nanti, dapat dilihat perangai kami sebenar apabila bersama.

“Lagipun setiap hari ada ujian yang perlu kami selesaikan, dan pastinya setiap kami adik beradik mahu melakukannya dengan sebaiknya, akan terlihatlah perangai kami yang sebenar. Bukan kami histeria tiba-tiba,” katanya.

Emma turut menjelaskan yang program itu berlainan dengan rancangan realiti Hollywood berjudul Kim Kardashian.

“Rancangan Kim Kardashian menonjolkan semua aktiviti harian yang dilakukan keluarga itu, baik waktu celik atau tidur. Tetapi The House berbeza kerana hanya bersiaran selama setengah jam dan menonjolkan aktiviti kami ketika menjalankan ujian diberikan.

“Memang pada awalnya pihak Astro mahu membuat program seperti rancangan Hollywood itu, tetapi saya tidak bersetuju kerana saya dan keluarga masih mahu ada ruang peribadi yang tidak mahu dikongsikan dan mahu menjaga nama keluarga.

“Justeru, hasil perbincangan banyak kali, kami bersetuju apabila pihak Astro memberi pilihan menjayakan program itu tanpa skrip tetapi ada ujian perlu diselesaikan setiap hari,” katanya.
Kenangan manis

Tambah Emma, seperkara yang menarik selepas dia bersetuju untuk menjayakan program itu, dia dapat tinggal sebumbung bersama Chacha dan Yaya semula setelah 10 tahun tidak tinggal bersama.

“Walaupun 10 hari kami tidur sekatil dan serumah, tetapi pengalaman manis itu amat menggembirakan saya.

“Ada juga satu hari, kami sembilan beradik termasuk ayah dan mama berkumpul bersama dan di situ juga memperlihatkan perangai kami adik beradik apabila dapat bertemu ayah dan mama yang sudah lama tidak berjumpa.

“Apa yang sedih pula, ketika hari terakhir, saya menangis kerana selepas rancangan itu, saya tahu kami memang sukar untuk keluar bersama,” katanya.

Tampar Kamal masih rahsia

Pada perkembangan lain, ketika diminta mengulas berkenaan video dirinya menampar pelakon Kamal Adli yang kini menjadi viral, Emma berkata perkara itu masih menjadi rahsianya.

“Belum masanya lagi untuk mendedahkan perkara sebenar itu sekarang. Tetapi tamparan itu memang berlaku. Hanya tuhan sahaja yang tahu apa sebenarnya berlaku.

“Perlu tunggu untuk mengetahui perkara sebenar. Mungkin minggu hadapan baru saya akan maklumkan,” katanya.

-Sinar Harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");