Membawang Hari Ini

Erma berdebar tunggu jawapan Ogy

Pengarah terkenal Erma Fatima, 47, mengharapkan Ogy Ahmad Daud, 53, bersetuju terbabit dalam pementasan teater muzikal Mak Cun di Istana Budaya, Kuala Lumpur mulai 14 hingga 22 November depan.

Erma berkata, dia kini berdebar menantikan keputusan sama ada pelakon legenda itu bersetuju atau tidak.

“Saya belum lagi mencapai apa-apa persetujuan dengan dia, malah belum berkesempatan menyerahkan skrip kepadanya. Lagipun, dia sendiri terbabit dalam sebuah program TV dan pastinya sibuk.

“Apapun, saya memang teringin bekerja dengannya dan berharap dapat mencipta semula fenomena sebagaimana telefilem Pengantin Popular dulu,” katanya.

Seperti kita sedia maklum, ‘perang dingin’ di antara dua pelakon hebat ini berlanjutan lebih 20 tahun dan baru-baru ini mereka mengambil keputusan untuk berbaik semula.

Mereka juga membuat pengumuman kemungkinan mahu kembali bergabung dan bekerjasama semula menjayakan pementasan teater berkenaan.

Erma berkata, dia tidak ada masalah sekiranya Ogy akan meminda skrip sekiranya dia bersetuju terbabit dalam pementasan itu nanti.

“Saya tiada masalah asalkan ia bertujuan menambah baik lagi jalan cerita,” katanya.

Sementara itu, Ogy ketika dihubungi enggan me­ngulas berhubung perkara itu.

“Saya tak mahu komen lagi kerana buat masa ini belum ada lagi perbincangan dibuat.

“Saya juga perlu membaca skrip terlebih dulu dan barulah buat keputusan,” katanya.

Selain Erma selaku teraju utama, pementasan itu turut menampilkan Datuk Rahim Razali, Datin Seri Umie Aida, Nora Danish, Balkisyh, Ungku Ismail Aziz, Dafi dan Betty Rahmad.

Tiket berharga RM36, RM76, RM86, RM106 dan RM156 boleh dibeli secara atas talian menerusi laman web www.redtix.airasia.com atau di kaunter Istana Budaya.

Tak sangka Mak Cun jadi fenomena

Berkongsi mengenai kejayaan dicipta siri Mak Cun di TV3 itu, Erma berkata, dia sendiri tidak terfikir drama terbabit akan menjadi fenomena.

Penerimaan yang begitu hangat membuatkan pengarah itu terfikir untuk memperluas lagi jenama Mak Cun itu sendiri.

Selain telefilem, drama dan teater, dia juga merancang untuk menghasilkan Mak Cun dalan bentuk animasi.

“Saya menghasilkan karya itu dengan harapan untuk mencerminkan kehidupan sebenar usahawan di kampung. Satu daripada tujuan saya juga adalah untuk memartabatkan usahawan tempatan kita.

“Dengan memfokuskan kepada perniagaan bedak sejuk dalam drama itu, secara peribadi saya sendiri mahu menghargai usahawan tempatan biar sekecil mana perniagaan mereka. Saya percaya, semua mereka mampu menyumbang kepada penjanaan ekonomi negara.

“Tidak sangka pula ia menjadi fenomena baik dalam kalangan dewasa hinggalah kanak-kanak. Saya lihat ia sebagai satu kesempatan terbaik untuk menjenamakan Mak Cun selain penghargaan saya terhadap penerimaan luar biasa penonton,” katanya.

Menurut Emma, Mak Cun juga bukan cerita komedi semata-mata meskipun ada sesetengah menyifatkan karyanya itu tidak membina.

Katanya, jika diteliti betul-betul memang ada sesuatu yang akan dipelajari di pengakhirannya nanti.

Berikutan ia sudah menarik perhatian kanak-kanak, kata Erma, dia perlu menjaga dialognya juga untuk sambungan musim kedua nanti. Bagaimanapun, untuk teater akan datang itu pula, dia tidak mengehadkan sangat dialognya.

“Saya terima dengan hati terbuka jika ada yang melihat karya itu sepertinya tidak membina. Saya sendiri tidak mengharap sewaktu menghasilkan karya berkenaan kerana fokus saya memang untuk menghiburkan penonton saja,” katanya.

-Metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");