Sukan Hari Ini

FAM teliti tarikh baru

Kuala Lumpur: Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) masih meneliti tarikh lima perlawanan Piala Malaysia yang ditunda susulan keadaan jerebu teruk yang melanda negara.

Terbaru aksi Perak menentang Johor Darul Ta’zim (Johor DT) di Stadium Perak yang sepatutnya berlangsung malam tadi terpaksa ditunda selepas empat perlawanan mengalami nasib sama kelmarin.

Empat aksi itu adalah Johor Darul Ta’zim II bertemu Terengganu, ATM menentang Sarawak, PDRM melawan Pahang dan pertembungan PKNS dengan Pulau Pinang.

Timbalan Presiden FAM Datuk Seri Afandi Hamzah berkata, beliau sudah mengarahkan pihak urusetia untuk mencadangkan tarikh bersesuaian.

“Penelitian masih dilakukan, saya sudah mengarahkan mereka mencadangkan beberapa tarikh yang sesuai. Selepas itu saya akan melakukan perbincangan lanjut untuk memutuskannya,” katanya yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan Tempatan FAM.

Kecuali aksi Kumpulan C yang sudah bermain empat perlawanan, tiga kumpulan lagi tidak dapat dilengkapkan dengan ada yang bermain empat, tiga dan dua perlawanan.

Afandi turut menjelaskan, masih terlalu awal untuk membuat kesimpulan perkembangan terbaru itu akan menjejaskan aksi kalah mati Piala Malaysia.

“Kami akan lihat secara keseluruhan. Tapi kami akan mencari jalan terbaik untuk menyelesaikan tarikh baru secepat mungkin,” katanya.

Aksi suku akhir pertama Piala Malaysia dijadualkan pada 6 dan 7 November dengan final pada 12 Disember.

– Metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");