Jenayah

Geng Ali Baba berjaya ditangkap

DUNGUN: Sekumpulan anak muda yang dikenali sebagai geng Ali Baba dan dipercayai aktif melakukan kegiatan pecah rumah di sekitar daerah ini berjaya ditangkap.

Gerakan memburu suspek berusia 16 hingga 34 tahun dilancarkan susulan laporan yang dibuat seorang mangsa dari Kampung Sungai Udang.

Berdasarkan laporan, mangsa mengalami kerugian kira-kira RM8,000 berikutan rumahnya dipecah masuk melalui pintu belakang dan penyamun membawa lari kesemua perabot di dalamnya.

Hasil risikan dan maklumat, sepasukan pegawai dan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dungun membuat serbuan di beberapa rumah di sekitar daerah ini dan berjaya menangkap enam lelaki dipercayai terlibat dalam kes berkenaan.

Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Ahmad Zailani Yaacob berkata, hasil soal siasat didapati lima daripada enam suspek ditahan terlibat dengan kes berkenaan dan mengaku memecah masuk rumah mangsa sebanyak empat kali.

Menurutnya, laporan polis dibuat pada pertengahan September dan polis bertindak segera untuk mengesan serta menangkap penjenayah terbabit.

“Kesemua suspek berjaya diberkas dan mengaku terlibat dalam kes berkenaan serta memecah masuk rumah untuk mengambil perabot sebanyak empat kali ketika tuan rumah tiada.

“Barang-barang yang dicuri dibawa dan disimpan di sebuah rumah suspek sebelum dijual. Kesemua barang tersebut dijual kepada rakan, saudara dan melalui laman sosial Facebook.

“Terdapat juga barang yang diambil untuk kegunaan sendiri dan disimpan di dalam rumah suspek,” katanya kepada pemberita di IPD Dungun di sini, kelmarin.

Beliau berkata, lima daripada suspek yang ditahan dituduh di Mahkamah Majistret Dungun pada 23 September lalu, mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan dan Seksyen 414 Kanun Keseksaan kerana membantu menyembunyikan harta curi.

Katanya, kesemua suspek adalah warga tempatan dan hasil ujian saringan air kencing mendapati keenam-enamnya positif dadah.

“Seorang suspek ada rekod jenayah lampau berkaitan kes mengikut Seksyen 411 Kanun Keseksaan kerana memiliki harta curi berkait kes yang berlaku di Johor Bahru Sentral.

“Mahkamah menetapkan jaminan sebanyak RM6,000 dengan seorang penjamin tempatan, sementara menunggu sebutan kes pada 13 Oktober ini,” katanya.

-Sinar harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");