Berita Hari Ini

GST penyelamat hasil

Putrajaya: Semua orang akan memperoleh manfaat tertentu dalam Bajet 2016 terutama kumpulan berpendapatan rendah selain kelas pertengahan namun rakyat tidak wajar mengharapkan habuan yang tidak realistik, kata seorang pegawai kanan Kementerian Kewangan, semalam.

Ini selari dengan kedudukan ekonomi yang sangat mencabar dan di luar kawalan yang menyebabkan ketidaktentuan seperti penurunan mendadak harga minyak mentah dan gas serta penyusutan ringgit.

Walaupun satu pertiga pendapatan negara disumbangkan oleh minyak yang harganya susut sehingga 50 peratus, pegawai berkenaan memberi jaminan kerajaan tidak akan menghentikan projek yang akan meningkatkan taraf hidup rakyat.

“Meskipun sukar, kerajaan mempunyai visi, pelan dan sumber untuk menyampaikan manfaat kepada rakyat,” katanya pada taklimat mengenai teras Bajet 2016 yang akan dibentangkan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan Datuk Seri Najib Razak di Dewan Rakyat, hari ini.

Pegawai berkenaan juga menerangkan bagaimana Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) yang dikritik hebat oleh pelbagai pihak terutama pembangkang sebenarnya muncul sebagi penyelamat dalam menyumbang kepada hasil kerajaan.

GST membantu menampung impak penurunan ketara harga minyak mentah yang kini sekitar AS$51 setong.

“Tanpa GST, kita akan berhadapan masalah besar,” katanya.

Beliau berkata dalam ucapan bajet, Perdana Menteri akan menjelaskan pentingnya GST dan bagaimana hasil daripada sistem percukaian secara meluas itu akan digunakan untuk rakyat.

Pegawai berkenaan berkata, insentif akan terus diberikan kepada sektor swasta bagi meningkatkan pelaburan swasta dalam bidang utama serta merangsang aktiviti perniagaan termasuk perkhidmatan dan pelancongan.

“Usaha menarik pelancong dari China yang merupakan sumber besar tunai segera boleh ditingkatkan selain pelancongan perubatan bagi menarik pelancong Arab.

“Kerajaan juga akan meluaskan manfaat GST kepada sebanyak mungkin sektor manakala kemudahan perumahan terutama untuk golongan muda akan terus disediakan dalam bajet.

“Fokus Bajet 2016 adalah ke atas usaha melaksanakan perkara perlu terutama menjaga kebajikan rakyat.

“Tidak ada masalah dalam meneruskan projek infrastruktur seperti Transit Aliran Ringan (LRT) dan Mass Rapid Transit (MRT) serta Lebuh Raya Pan Borneo,” katanya.

Ditanya sama ada cukai pendapatan akan dikurangkan, beliau berkata, berkemungkinan ada pelarasan bagi memberi pelepasan, namun malangnya harga minyak mentah yang turun naik tidak membolehkan pengurangan dalam keadaan semasa.

Menerusi GST dan andaian harga minyak kekal sekitar AS$80-AS$90 setong, kerajaan akan mempunyai kedudukan kewangan yang baik untuk menimbang pengurangan cukai pendapatan namun dalam senario semasa, opsyen itu terhad.

Ekonomi domestik terjejas akibat penurunan luar jangka ekonomi China dan kemungkinan peningkatan kadar faedah oleh Rizab Persekutuan Amerika Syarikat (AS) yang memihak kepada dolar AS yang akan terus menekan ringgit.

– BERNAMA

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");