Sukan Hari Ini

Gunners puas

London: Pengurus Arsenal Arsene Wenger berkata, pasukannya sudah menjawab kritikan yang dilemparkan ke atas mereka dengan mengatasi Manchester United 3-0, semalam.

Wenger berdepan kritikan hebat selepas pasukannya tumbang 3-2 di tangan Olympiakos minggu lalu sekali gus menjadikan peluang mereka untuk ke pusingan kalah mati Liga Juara-Juara menjadi semakin hambar. Kritikan paling pedas yang dilemparkan media British terhadap Wenger adalah berhubung keputusannya menurunkan penjaga gol kedua, David Ospina.

Begitupun, anak buahnya bangkit bergaya di Stadium Emirates apabila meledak tiga gol sepanjang 20 minit pertama dan kemenangan itu melonjakkan mereka ke tangga kedua liga.

“Perkara seperti itulah yang anda kehendaki dalam setiap perlawanan besar,” kata Wenger.

“Kami bermula baik, kami memberi tekanan kepada lawan, menguasai permainan dan semuanya berjalan seperti dirancang.

“Pada babak kedua, kami memutuskan untuk bermain secara lebih berdisiplin, mengawal keputusan dan berjaya mengekalkannya hingga tamat. Kami mempunyai dua aspek penting di dalam perlawanan itu dan gembira dengannya.

“Ia menghadirkan jawapan cukup kukuh ke atas semua persoalan yang ditimbulkan sepanjang minggu lalu.”

Arsenal kini mengekori pendahulu, Manchester City dengan dua mata sambil United di tangga ketiga berdasarkan perbezaan jaringan. Wenger bagaimanapun enggan mengulas panjang mengenai peluang pasukannya untuk merangkul kejuaraan liga musim ini.

“Menang perlawanan besar seperti ini memang menggembirakan,” kata Wenger.

“Kami ada peluang (untuk muncul juara), kami ketinggalan dua mata di belakang pendahulu, Manchester City. Justeru, saya harap keputusan hari ini akan memberikan kami keyakinan dan cita-cita untuk terus berjuang.”

– AFP

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");