Sukan Hari Ini

Hijrah demi nyawa

Nyawa Fawad Ahmed pernah berada di hujung senjata golongan pelampau meskipun bergelar pemain kriket ternama di Pakistan dengan beraksi untuk pasukan Abbottabad dan Pakistan Customs.

‘Kesalahan’ yang dilakukannya hanyalah terbabit dalam kegiatan badan bukan kerajaan yang memberi tumpuan kepada pendidikan terhadap wanita, kemudahan mendapatkan air bersih serta vaksin polio dan hepatitis.

Bimbang akan ancaman berkenaan, Fawad dengan bantuan rakannya berhijrah ke Australia pada 2010 sebelum mendapat kerakyatan negara itu dan bermain kriket mewakili negara angkatnya.

“Pada mulanya mereka tidak agresif,” katanya mengimbas kenangan pahit dan menganggap apa yang dilakukannya bukan perkara salah.

“Namun kemudian, mereka mengelilingi saya dan berkata ‘Jangan lakukan ini. Ia menyalahi Islam’. Sebaik saya mula berbincang, mereka menjadi semakin agresif. Mereka mula mengeluarkan kata-kata kesat dan mengugut saya.

“Tentulah saya takut, apabila nyawa diancam, sukar untuk saya lakukan apa-apa. Saya menyerah kalah. Saya katakan, ‘Baiklah, saya akan berundur’.”

Fawad semakin bimbang akan keselamatan kedua ibu bapa dan adik beradiknya apabila tindakannya bermain di kelab lain yang jauh dari kediamannya turut berjaya dihidu kumpulan terbabit.

“Mereka kata ‘Anda masih bermain kriket. Anda masih menjadi sasaran. Jika kami jumpa anda, kami akan cederakan anda.’ Saya terpaksa berhenti dan terfikir sudah tiba masanya saya meninggalkan negara kelahiran,” katanya.

Akhirnya selepas melalui proses yang panjang, termasuk beraksi bersama beberapa kelab kecil di Australia sambil dibantu presiden kelab Melbourne University Derek Bennett, akhirnya impian Fawad untuk bermastautin di negara kanggaru itu menjadi kenyataan.

Fawad berada di atas sejadah ketika Bennett memberitahunya mengenai khabar gembira itu.

“Sukar untuk saya percaya. Saya menghubungi ibu dan dia sungguh gembira. Dia bersyukur. Dia gembira kerana saya boleh memulakan hidup baru di sini,” katanya.

Status selaku warga Australia yang dimilikinya pada 2013 membolehkan Fawad mewakili negara berkenaan dan penampilan pertamanya adalah sewaktu menentang England dalam kejohanan T20 pada 29 Ogos 2013.

Manakala pada 31 Mac lalu, Fawad disenaraikan dalam Skuad Ujian Australia untuk jelajah West Indies dan England berikutan aksi cemerlang bersama pasukan Victoria dalam Sheffield Shield.

Meskipun jauh berkelana meninggalkan keluarga, dia tetap utuh mempertahankan kepercayaannya sebagai seorang Muslim.

Tidak hanya taat perintah agama di atas sejadah, Fawad membawanya ke padang kriket.

Berbanding pemain lain, Fawad beraksi tanpa logo minuman keras pada pakaiannya. Itu adalah permintaannya sendiri yang tidak mahu meletakkan sebarang logo minuman keras lantaran pendirian tegasnya sebagai seorang Muslim.

Permintaannya itu dihormati Kriket Australia dan syarikat minuman keras terbabit.

Fawad juga pernah menewaskan bintang ragbi Sonny Bill Williams sebagai Atlet Muslim Tahunan pada 2013.

Namun Fawad yang kini menyertai pasukan Sydney jelas sekali menolak keganasan yang sering dikaitkan dengan umat Islam. Contoh ketara kekacauan di sebuah kafe di Sydney tahun lalu menurutnya bukan tindakan yang melambangkan keperibadian seorang Muslim.

Sebagai seorang Muslim dia amat terkesan apabila golongan ekstrem seluruh dunia dan negaranya menyalahgunakan pegangan mereka untuk melakukan tindakan kekejaman dan penindasan.

“Saya benar-benar sedih apabila berlaku perkara seperti ini terutamanya apabila mereka menggunakan nama agama,” kata Fawad.

“Ia menyedihkan dan melukakan hati saya. Saya tidak sangka mereka akan melakukannya.

“Saya tidak pasti apa tujuan mereka dan apa yang mereka mahu lakukan tetapi dengan menggunakan nama agama dan melakukan perkara seperti itu adalah sesuatu yang teruk.”

-Metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");