Berita Hari Ini

Hormati Titah Majlis Raja-Raja

PUTRAJAYA 8 Okt. – Segala titah Majlis Raja-Raja dinilai baik dan kerajaan telah mengambil langkah-langkah proaktif bagi menangani isu yang dititahkan.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, kesejahteraan rakyat dan kedaulatan undang-undang harus diberi keutamaan dalam apa jua keputusan dan kenyataan oleh semua pihak.

“Segala siasatan kepada mana-mana pihak sekalipun harus berpegang kepada prinsip kedaulatan undang-undang.

“Desakan untuk mempercepat atau melewatkan sebarang siasatan ke atas mana-mana pihak tidak patut berlaku,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Majlis Raja-Raja Melayu sebelum ini bertitah mahu kerajaan menyelesaikan secepat mungkin siasatan berkaitan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan mengambil tindakan tegas yang sewajarnya terhadap pihak-pihak yang terlibat.

Ahmad Zahid berkata, kerajaan menjunjung kasih dan mengambil maklum intipati kenyataan Majlis Raja-Raja yang menunjukkan prinsip Raja Berperlembagaan dan Demokrasi Berparlimen di negara ini.

Beliau menegaskan siasatan yang dibangkitkan Majlis Raja-Raja akan dilakukan secara adil dan terbuka.

“Sistem perundangan yang termaktub dalam Perlembagaan adalah jelas dan jika terdapat pihak yang didapati bersalah, maka tindakan undang-undang akan diambil,” katanya.

Ahmad Zahid berkata, pihak kerajaan sentiasa mengambil berat dan menghormati titah Majlis Raja-Raja.

“Kestabilan ekonomi negara, pemulihan nilai ringgit, keharmonian kaum dan pengurangan kos beban hidup rakyat menjadi fokus kerajaan. Segala usaha sedang dilakukan bagi memastikan isu-isu ini dapat diselesaikan dalam masa terdekat,” katanya.

Ahmad Zahid berkata, beliau berharap tidak ada pihak yang menangguk di air keruh dan mengeluarkan kenyataan seolah-olah kerajaan tidak berbuat sebarang usaha untuk mendepani isu yang dipolemik.

“Berilah kesempatan dan ruang secukupnya kepada pihak berwajib untuk menyelesaikan semua permasalahan dengan sebaik mungkin,” katanya.

– Utusan Malaysia

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");