Membawang Hari Ini

Idam berganding dengan kakak

Nama Ruhainies masih asing di persada hiburan tanah air. Namun, bagi peminat drama bersiri Hello, Mr Perfect! pasti ramai perasan kehadiran bakat baru yang beraksi sebagai heroin di samping pelakon kacak Fattah Amin itu.

Malah, tidak dinafikan drama bersiri itu turut menjadi pembuka jalan buat Ruhainies melangkah lebih jauh dalam bidang lakonan.

Pemilik nama sebenar, Nur Ruhainies Farehah Zainul Ilyas, 23, berkata dia menceburi bidang seni atas dasar minat yang mendalam.

“Saya bermula sebagai model iklan untuk syarikat tempatan dan Singapura. Selain itu, saya turut menjadi jurucakap produk kecantikan sebelum memberanikan diri mengasah bakat dalam bidang lakonan.

“Saya melakonkan watak pembantu dalam telefilem terbitan Zeel Production yang diterajui Shah Iskandar dan Emma Maembong. Sejak drama itu, tawaran datang mencurah termasuk watak utama,” katanya.

Ditanya sama ada dia menumpang nama kakaknya, Nur Risteena Munim untuk mencipta populariti, lulusan Diploma Pengurusan Pelancongan daripada Universiti Teknologi MARA (UiTM) Pulau Pinang ini menafikannya.

“Saya mahu dikenali dengan usaha dan kerja keras sendiri tanpa bergantung dengan nama kakak atau mana-mana pihak. Namun, sebagai adik saya tumpang gembira dengan apa yang dikecapinya hari ini dan dia juga sumber inspirasi saya.

“Saya juga berharap dapat bergandingan dengan kakak satu hari nanti. Selain kakak, ibu bapa juga pendorong utama saya,” katanya yang mempertimbangkan beberapa tawaran berlakon dan menanti masa sesuai untuk ke lokasi penggambaran.

Selain drama Hello, Mr Perfect!, dia terpilih menjayakan kan watak utama dalam projek telefilem terbaru yang menggandingkannya dengan Fizz Fairuz dan Sofi Jikan.

Tidak ketinggalan, Ruhainies turut dilamar menjadi duta produk kecantikan dan rangkaian fesyen.

“Saya juga akan muncul dengan produk kecantikan sendiri iaitu Ruhanies RosySecret. Insya-Allah majlis pelancaran akan berlangsung dalam tempoh terdekat ,” kata anak ketiga daripada lima beradik ini.

Bersedia terima kritikan

Sebagai pendatang baru, Ruhainies mengakui masih banyak kelemahan yang perlu diperbaiki dalam persembahannya. Justeru, dia berharap peminat dapat menerima lakonannya dalam drama bersiri Hello, Mr Perfect! yang mula bersiaran di Slot Akasia TV3 sejak 30 September lalu.

“Saya sangat bersyukur kerana diberi kepercayaan memegang watak utama dalam drama ini. Saya terima tawaran ini kerana mahu cabar diri.

“Saya dicabar bawa tiga watak sekali gus yang jauh berbeza daripada diri sebenar. Saya perlu jadi Nurul Ain yang menggoda, Alya Adriana iaitu anak kampung yang fesyennya ketinggalan zaman dan gadis tomboi yang tidak mengenakan sebarang solekan.

“Walaupun penat kerana perlu menukar solekan setiap hari, ia pengalaman yang sangat berharga,” katanya.

Ruhaines berkata, dia bertuah kerana dapat bekerja dengan pasukan produksi yang banyak membimbingnya sepanjang penggambaran.

“Watak saya berat kerana perlu menukar emosi dan gaya yang berbeza. Namun, saya bertuah kerana pengarah drama ini iaitu Nuad ­Othman dan barisan pelakon terutama Datuk Eizlan Yusof banyak membantu saya menjiwai watak sebaik mungkin. Abang Nuad seorang yang tegas dan sangat komited dengan karyanya.

“Pada masa sama, dia banyak memberi nasihat dan bimbingan agar lakonan saya menjadi. Begitu juga keserasian dengan pelakon lain termasuk Fattah kerana kami bagaikan keluarga yang besar,” katanya.

Soal kritikan pula, Ruhainies tidak ingin cepat melatah dan lebih suka melihatnya dari sudut positif.

“Saya menganggap setiap komen baik positif mahupun negatif sebagai asam garam dalam bidang ini. Syukur, majoriti komen yang diterima setakat ini positif sekali gus menyuntik semangat saya untuk buat yang terbaik.

“Saya memohon maaf atas segala kekurangan dan berilah saya peluang untuk menonjolkan lakonan yang lebih baik lagi pada masa depan,” katanya.

Drama bersiri 28 episod terbitan A Aida Production Sdn Bhd yang diadaptasi daripada novel nukilan Miss_Waniey terbitan Kaki Novel ini turut menampilkan barisan pelakon seperti Ezzaty Abdullah, Raja Afiq DFKL, Zaidi Omar, Fiza Halim, Kay Maria, Lan Siro, Adiba Yunus, Chomel Fana, Nafiez Zaidi, Mimi Ernida, Ammar Alfian dan ramai lagi.

-Metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");