Perak Hari Ini

Jadikan Sukan Sebahagian Daripada Kehidupan -Zambry

IPOH: Idea untuk menjadikan sukan sebagai sebahagian daripada kehidupan telah dapat dilaksanakan dengan penganjuran Hari Sukan Negara yang diadakan serentak di seluruh negara pada hari ini.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, kehadiran begitu ramai rakyat ke Hari Sukan Negara yang dianjurkan khususnya di negeri Perak pada hari ini dapat membuktikan bahawa masyarakat mampu menjadikan sukan sebagai gaya hidup.

“Saya ucapkan tahniah kepada seluruh rakyat negeri Perak termasuk juga anak-anak kita yang turut hadir pada hari ini.

“Ini merupakan satu kesedaran, satu semangat baru untuk kita mewujudkan sebuah negeri dengan rakyatnya yang sihat dan sejahtera,” katanya.

PERAKTODAY13

Beliau berkata lagi, semangat bersukan ini adalah merupakan satu idea besar daripada pihak Kementerian Belia dan Sukan dan juga diperingkat negeri Perak.

“Kita menekankan aspek sukan kepada rakyat jelata sekalian dan hari ini kita menyaksikan idea untuk menjadikan sukan sebagai sebahagian kehidupan rakyat jelata telah pun dilaksanakan.

“Inilah yang kita harapkan untuk negeri Perak supaya rakyat daripada segenap masyarakat dan umur dapat bersama-sama terlibat dalam acara sukan ataupun sebarang bentuk riadah yang dapat membantu kesihatan kita,” katanya lagi.

PERAKTODAY

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan di Majlis Pelancaran Hari Sukan Negara Peringkat Negeri Perak di sini, hari ini.

Turut hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Abdul Puhat Mat Nayan dan Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Sumber Manusia Negeri Perak, Datuk Shahrul Zaman Yahya.

Lebih 7,000 orang turut sama-sama hadir bagi memeriahkan lagi majlis dengan menyertai pelbagai acara yang telah disediakan oleh pihak penganjur.

Sementara itu, Shahrul ketika ditemui pemberita berkata, Fit Malaysia dan Hari Sukan Negara bertujuan diadakan bertujuan untuk memupuk budaya bersukan di kalangan semua masyarakat tidak kira umur, bangsa, agama dan sebagainya.

“Ini kerana kita tahu bahawa sukan adalah satu elemen yang sangat sesuai untuk menyatupadukan kita semua selain daripada kita beriadah dan kita menjalani gaya hidup yang sihat.

PERAKTODAY14

Tambahnya program Fit Malaysia dan Hari Sukan Negara ini perlu dijadikan sebagai titik tolak semua masyarakat menjalani gaya hidup yang sihat dan bersukan setiap hari.

“Yang paling penting adalah bagaimana kita perlu istiqamah, harus konsisten dalam kita menjalankan aktiviti-aktiviti sukan untuk kita menjalani gaya hidup yang sihat,” tegasnya lagi.

Dalam pada itu, Shahrul turut mengucapkan taniah kepada Persatuan Taekwan-Do Negeri Perak kerana berjaya mencipta nama dalam Malaysia Book of Record dengan memecahkan 1,099 papan.

PERAKTODAY1

“Kita ucapkan tahniah kepada pasukan Taekwan-Do Negeri Perak kerana inilah pencapaian-pencapaian yang harus kita cuba capai untuk melonjakkan negeri kita supaya menjadi kuasa besar dalam apa juga bidang sukan.

“Apatah lagi pada tahun 2018, kita akan menjadi tuan rumah SUKMA yang kita sasarkan nak jadi juara.

“Oleh sebab itu kita harus melipatgandakan usaha kita untuk menjadi terbaik dalam apa jua bidang sukan yang dipertandingkan,” katanya lagi.

PERAKTODAY4

Terdahulu, Zambry turut menyampaikan anugerah Sukan Untuk Semua Peringkat Negeri Perak yang telah terbahagi kepada beberapa kategori.

Sebelum itu, beliau telah menyertai kayuhan sejauh 30 kilometer (km) dan juga  tidak melepaskan peluang untuk beramah mesra dengan pengunjung yang hadir pada majlis berkenaan.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");