Berita Hari Ini

‘Jangan kita jadi batu api’

Washington DC: Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menegur kalangan pemimpin parti Barisan Nasional (BN) kerana menimbulkan provokasi yang boleh menyebabkan khalayak meragui kewibawaan agensi penguatkuasaan melaksanakan tanggungjawab berhubung soal 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Katanya, sebarang kenyataan bersifat provokasi tidak seharusnya dijadikan sandaran untuk menggambarkan seolah-olah agensi penguatkuasaan tidak mengambil tindakan segera bagi menyelesaikan penyiasatan dan melakukan pendakwaan lebih awal.

“Ketulusan saranan daripada kenyataan Majlis Raja-Raja tidak sepatutnya ditangguk dalam air keruh yang seharusnya dijernihkan agar terpancar keikhlasan untuk menyelamatkan parti dan kerajaan,” katanya dalam kenyataan media yang diedar kepada wartawan Malaysia yang membuat liputan lawatan kerja beliau di sini, kelmarin.

Katanya, tindakan dendam dan memburukkan keadaan akhirnya menyumbang kepada “menang sorak kampung tergadai”.

Majlis Raja-Raja Melayu pada 6 Oktober lalu bertitah meminta supaya siasatan berhubung 1MDB diselesaikan segera. Beberapa pihak termasuk bekas Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin menyuarakan pandangan berkenaan titah Majlis Raja-Raja.

Ahmad Zahid berkata, menjunjung kasih saranan Majlis Raja-Raja bukanlah dengan mengambil langkah provokasi untuk mengajak khalayak meragui kredibiliti agensi yang berwibawa untuk mengambil tindakan secara rasional mengikut proses perundangan.

“Sebagai pemimpin yang masih dihormati atas apa jua jawatan penting di dalam parti, seharusnya tindakan yang diambil harus memperlihatkan usaha penyatuan dalam situasi sukar yang sedang dihadapi oleh UMNO, BN dan kerajaan,” kata Ahmad Zahid yang juga Naib Presiden UMNO.

-BERNAMA

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");