Membawang Hari Ini

Jasmin dikritik tidak bertudung

SUDAH lama tidak mendengar khabar mengenai dramatis popular, Jasmin Hamid, meskipun dilihat masih aktif dalam lakonan. Bagaimanapun, namanya kembali menjadi sebutan setelah timbulnya kontroversi di laman sosial. Memandangkan sudah ramai artis yang dilihat berhijrah dengan mengenakan tudung, maka tidak hairanlah Jasmin atau nama sebenarnya Jasmiah Abdul Hamid turut dihujani pertanyaan itu oleh peminatnya di Instagram.

Tidak pernah menolak untuk ke arah itu (bertudung), Jasmin bagaimanapun kecewa kerana ada segelintir peminat yang menegurnya secara keterlaluan dengan memberikan komen yang terlalu negatif.

“Apabila teguran itu keterlaluan, pengikut yang sama memberi mesej pula pada ruangan peribadi, itu menyebabkan saya tidak suka dan ia akan berlarutan.

“Jika nak tegur atau nasihat, nasihatlah secara baik,” katanya.

Enggan memperbesarkan lagi isu tersebut, Jasmin memberitahu, dia lebih selesa menyekat sahaja pengikut tersebut daripada membalas kenyataan yang akhirnya hanya akan mengeruhkan lagi keadaan.

“Jika saya tak suka saya akan sekat (pengikut), saya tak nak ada pengikut yang negatif, saya tak suka berkawan dengan orang seperti ini, untuk apa. Tiada kebaikannya.

“Saya juga tidak mahu memeningkan kepala memikirkan segala komen negatif daripada pengikut, asalkan kerjaya saya tidak terjejas,” katanya kepada Zass.

Berkongsi pula mengenai perkembangan seninya, pelakon berusia 42 tahun ini sedang sibuk dalam penggambaran drama Lara Terindah yang sedang ditayangkan di slot Ratu TV9.

“Sekarang saya masih sibuk dengan penggambaran drama bersiri tersebut bersama beberapa pelakon termasuk Nelydia Senrose.

“Tinggal beberapa siri lagi untuk dihabiskan. Mungkin dalam seminggu lagi akan selesai penggambaran.

“Selepas habis penggambaran drama itu, saya akan mula dengan penggambaran lain pula. Alhamdulillah masih ada rezeki berlakon,” katanya.

-Sinar Harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");