Berita Hari Ini

Jelaskan status, jangan dolak-dalik

SHAH ALAM – Kerajaan Selangor diminta membuat pengumuman secara rasmi berhubung status projek Lebuhraya Damansara-Shah Alam (Dash) sama ada ia diluluskan atau sebaliknya.

Pengerusi Gerakan Sokong Dash (Yes2dash), Jamalulkhair Khairedin berkata, pengumuman itu perlu dibuat agar semua pihak mendapat jawapan muktamad daripada kerajaan negeri.

“Menerusi media, kerajaan negeri seolah-olah mengakui kelulusan sudah dibuat tapi, bukan dari mulut mereka sendiri sebaliknya pihak ketiga.

“Mereka harus berterus terang, jangan berdolak-dalik sebab nak jaga hati pihak yang satu lagi yang dikenali sebagai Gerakan “Say No To Dash” yang kebanyakannya adalah penduduk dari Damansara Perdana dan Mutiara Damansara,” katanya pada
program Hari Keluarga YES2DASH anjuran Gabungan Persatuan Penduduk Persiaran Mokhtar Dahari yang menyokong pembinaan Lebuhraya Dash, di Cahaya SPK Resort Club, semalam.

Menurutnya, kerajaan negeri perlu ambil kira suara kira-kira 88 peratus penduduk melibatkan 80 persatuan yang menyokong pembinaannya untuk mengurangkan kesesakan jalan raya.

“Golongan yang tak menyokong hanya 12 peratus dan alasan mereka hanya sebab pencemaran bunyi, kemalangan, nilai estetika di kawasan mereka dan risau akan berlaku kesesakan.

“Masalah yang diutarakan ini sudah diperjelaskan pihak berkaitan, perkara teknikal dari sudut kelulusan telah selesai dan diluluskan.

“Memang mana-mana pembangunan akan ada tentangan tapi jika pembangunan dibuat mengikut undang-undang dan piawaian teknikal, ia harus dilaksanakan,” katanya.

Sementara itu, Penasihat Yes2dash yang juga Ahli Majlis Daerah Kuala Selangor, Mohd Fakaruddin Ismail berkata, dari segi teknikal, Lebuhraya Dash i sudah mendapat kelulusan daripada 30 agensi kerajaan termasuk Jabatan Teknikal Jabatan Kerjaraya (JKR), Jabatan Alam Sekitar (JAS), Jabatan bangunan, bomba dan lain-lain.

Menurutnya, projek itu juga sudah diluluskan oleh Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) dan Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ).

“PBT yang terlibat adalah Majlis Daerah Kuala Selangor dan MBSA iaitu bermula dari simpang puncak alam hingga ke sempadan Saujana Utama.

“Kebanyakan penduduk yang bantah adalah mereka yang tinggal di apartmen servis di bawah MBPJ, kami harap perkara ini dapat diselesaikan secepat mungkin demi kepentingan penduduk dan pengguna laluan di sini,” katanya.

Lebuhraya Dash merupakan lebuh raya bertingkat enam lorong dengan 12 persimpangan yang merentasi deretan rumah dan kedai di kawasan kejiranan, menghubungkan pengguna Lebuhraya Damansara-Puchong (LDP) dan Sprint yang melibatkan jarak pembinaan sejauh kira-kira 20.4 kilometer.

-Sinar Harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");