Sukan Hari Ini

Jika Chelsea Pecat Saya, Mereka Pecat Pengurus Terbaik – Mourinho

MIMPI ngeri Chelsea berterusan apabila tewas buat kali keempat aksi Liga Perdana Inggeris musim ini dengan dimalukan Southampton 3-1 di gelanggang sendiri.

Selepas lapan perlawanan keseluruhan musim ini, skuad bimbingan Jose Mourinho hanya mengutip lapan mata, ketinggalan 10 mata di belakang pendahulu liga, Manchester City, malah hanya empat mata di atas zon penyingkiran.

Pada aksi tersebut, pemain tengah The Blues, Willian berjaya membuka jaringan awal pada minit ke-10 sebelum Steven Davis menyamakan kedudukan dua minit sebelum tamat separuh masa pertama.

Rentak permainan skuad Chelsea berubah pada babak kedua yang menyaksikan mereka bolos dua gol dengan jaringan Pelle (m-60’,70’) hasil bantuan Sadio Mane.

Dalam pada itu rayuan untuk mendapatkan penalti selepas Radamel Falcao dijatuhkan dalam kotak penalti tidak diendahkan pengadil Robert Madley.

Kedudukan 1-3 itu gagal diubah pemain-pemain Chelsea sekaligus menyaksikan Mourinho tewas buat julung kalinya kepada Southampton dalam aksi liga ini.

Selain mengakui kesilapan individu yang berterusan dilakukan pemain-pemainnya, Mourinho juga turut menyalahkan pengadil yang menyebabkan skuadnya gagal menambah jaringan.

“Kami semua dalam situasi buruk. Kita tidak perlu takut untuk berlaku jujur. Pengadil kelihatan takut membuat keputusan untuk Chelsea,” jelas Mourinho selepas perlawanan.

“Jika FA mahu mendenda saya, mereka boleh denda saya,” tambah jurulatih Portugis itu.

Mourinho yang menandatangani kontrak selama empat tahun hujung musim lalu bersama Chelsea mengakui situasi sekarang amat teruk sebelum merujuk kemungkinan akan dipecat.

“Saya mempunyai ego yang besar dan rasakan diri saya yang terbaik. Berada dalam situasi buruk di Chelsea amat menyedihkan saya.

“Saya tidak akan lari. Jika kelab mahu pecat saya, mereka perlu pecat saya. Saya sudah jelaskan kami akan tamat dalam kedudukan empat terbaik. Semua perlu bekerjasama. Pemain-pemain perlu ada minat untuk berjuang hingga ke akhir musim.

“Jika Chelsea pecat saya, mereka memecat pengurus terbaik yang kelab ada”.-mstar

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");