Sukan Hari Ini

‘Kami mahu transformasi’

Kuala Lumpur: Ultras Malaya masih belum berpuas hati dengan hukuman dikenakan FIFA ke atas Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan menuntut semua pihak mendesak perubahan segera dilakukan badan induk tempatan itu bagi memastikan sukan nombor satu negara kembali berada pada landasan tepat.

Wakil penyokong tegar skuad negara itu Alfadli Awaludin berkata, selagi tiga sasaran ditetapkan masih gagal dipenuhi FAM, peminat bola sepak tempatan tidak boleh berdiam diri.

“Ini bukan soal FAM dikenakan denda. Ini juga bukan skuad kebangsaan terpaksa beraksi di stadium kosong, sebaliknya ia mengenai perubahan yang perlu dilakukan FAM.

“Selagi skuad kebangsaan tidak layak ke Piala Dunia dan Piala Asia selain ada wakil negara beraksi dalam Liga Juara-Juara Asia tanpa melalui play-off, desakan untuk perubahan akan terus dilakukan,” katanya kepada Arena Metro semalam.

FAM terpaksa menanggung akibat perbuatan ganas segelintir Ultras Malaya pada perlawanan kelayakan Piala Dunia 2018/Piala Asia 2019 di antara Malaysia dengan Arab Saudi di Stadium Shah Alam pada 8 September lalu apabila didenda RM180,000 dan bermain tanpa penonton dalam satu perlawanan.

Malah FIFA memberikan kemenangan 3-0 kepada Arab Sadi dalam aksi Kumpulan A itu yang tertangguh pada minit ke-88 susulan Ultras Malaya membakar suar, bom asap dan mercun dengan Malaysia ketika itu ketinggalan 1-2.

Ketika ditanya adakah Ultras Malaya akan mengulangi tindakan sama selepas ini, Alfadli yang turut dikenali sebagai Rambo berkata: “Persoalan ini bukan hanya kepada Ultras Malaya tapi semua pihak yang mahu melihat FAM berubah. Kami bukan mahu melihat bola sepak mundur, tapi menunjukkan kemajuan.”

Tambahnya, tiada apa yang perlu dikesalkan FAM apabila Harimau Malaya terpaksa bermain tanpa penonton pada aksi kelayakan menentang UAE di Shah Alam pada 17 November ini kerana hakikatnya, ia tidak mengubah apa-apa.

“Kalau FAM fikir itu perlawanan penting, sudah lama mereka membuat perancangan rapi untuk memantapkan pasukan. Jika penonton memenuhi stadium adakah ia boleh menjamin bola sepak negara akan berubah. FAM tidak perlu memandang kepada satu perlawanan itu saja malah sepatutnya mengambil kira masa depan,” jelas Alfadli.

-metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");