Berita Hari Ini

Keluarga Lega Dua Kanak-kanak Orang Asli Yang Dirawat Di HRPZII Tujuk Perkembangan Positif

KOTA BAHARU:- Waris kanak-kanak Orang Asli yang ditemui selamat semalam selepas hilang sejak Ogos lepas, lega melihat perkembangan positif mereka yang sedang dirawat di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZII) di sini.

Dua kanak-kanak itu, Norieen Yaakob, 10, dan Mirsudiar Aluj, 11, dirawat di hospital tersebut disebabkan lemah kerana dehidrasi.

Ibu Norieen, Midah Angah, 40, berkata anaknya yang ditemui semalam masih dalam keadaan lemah dan trauma dengan kejadian yang menimpanya. namun keadaannya stabil.

“Saya bersyukur dia (anak) ditemui dalam keadaan selamat tetapi badan dia masih lemah. Saya sedih melihat keadaannya kerana tidak sama seperti dahulu. Saya ucapkan terima kasih atas keprihatinan pasukan mencari dan menyelamat, dan semua yang terlibat dalam operasi ini,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di HRPZII hari ini.

Midah berkata pada mulanya dia dan keluarga tidak menaruh harapan untuk menemui semula Norieen dan adiknya Haikal, 8, namun bersyukur Norieen ditemui dalam keadaan selamat.

“Mengenai Haikal…saya tidak menaruh harapan untuk menemuinya dalam keadaan selamat memandangkan apa yang diceritakan oleh Norieen bahawa adiknya dihanyutkan air sungai yang deras,” katanya.

Menceritakan kejadian yang menimpa anaknya, Midah berkata menurut Norieen, adiknya dihanyutkan arus sungai ketika mahu minum di sungai berdekatan.

“Dia hanya mampu melihat dan tidak sempat untuk selamatkan Haikal ekoran arus sungai yang deras ketika itu. Norieen juga menceritakan dia melihat sendiri mayat rakannya yang hanya tinggal tulang dan sudah hancur,” katanya.

Sementara itu, bapa saudara Mirsudiar, Akid Baher, 46, berkata anak saudaranya masih tidak dapat bercakap sejak ditemui semalam memandangkan keadaannya yang masih lemah dan trauma dengan kejadian yang menimpanya dan rakan-rakan.

“Sedih saya melihat dia kerana berbeza dengan keadaan sebelum ini, sangat kurus dan tidak bermaya. Bagaimanapun saya amat berterima kasih kepada semua pihak yang terlibat tanpa berputus asa dalam usaha mencari mereka,” katanya.

Dua kanak-kanak itu yang merupakan murid Sekolah Kebangsaan Tohoi, Gua Musang ditemui di tebing Sungai Perias, kira-kira 3.3km dari Pusat Operasi Mencari dan Menyelamat (SAR), pada pukul 12.15 tengah hari semalam, bersama satu mayat budak perempuan.

Mayat yang ditemui itu dikenali sebagai Ika Ayel, 9, selepas proses pengecaman yang dilakukan oleh anggota keluarganya petang semalam di Hospital Gua Musang (HGM).

Kedua-dua kanak-kanak itu, yang ditemui selepas 47 hari hilang, adalah antara tujuh murid Orang Asli iaitu enam budak perempuan dan seorang lelaki berusia antara 7 dan 11 tahun dari SK Tohoi, yang melarikan diri dari asrama sekolah itu kerana takut dikenakan tindakan oleh guru selepas didapati mandi di sungai berdekatan tanpa kebenaran pada 23 Ogos lepas.

Sebelum ini, pasukan mencari dan menyelamat pada Rabu lepas menemui satu mayat kanak-kanak perempuan yang telah reput di sungai itu, yang kemudian dikenal pasti sebagai Sasa Sobrie, 8.

Pada Khamis pula, sebahagian tengkorak dan beberapa batang tulang rusuk kanak-kanak ditemui kira-kira 500 meter dari lokasi penemuan mayat Sasa. Bagaimanapun, identitinya masih belum dikenal pasti.

Berdasarkan penemuan itu, pasukan mencari dan menyelamat menggiatkan usaha untuk mencari baki murid-murid yang masih hilang. Tiga yang masih belum ditemui dan dikenal pasti adalah Juvina David, 7; Linda Rosli, 8; dan Haikal Yaakob, 8.

— BERNAMA

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");