IPOH: Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah menyeru seluruh umat Islam supaya mengambil pendekatan menyeluruh dalam membantu dan memberi perlindungan kepada golongan yang tidak bernasib baik termasuklah golongan pelarian yang juga merupakan salah satu tuntutan fardu kifayah.
Baginda bertitah demikian sempena Majlis Sambutan Maal Hijrah Peringkat Negeri Perak 1437 Hijrah bertempat di Hotel Casuarina@meru Bandar Meru raya di sini hari ini.
Titahnya lagi, angka pelarian diunjurkan akan terus berkembang dalam situasi beberapa buah wilayah dan negara kini sedang berkonflik dan menghadapi defisit keamanan.
Jelas Baginda lagi, majoriti pelarian adalah wanita dan kanak-kanak, sementara lapan puluh peratus pelarian terdiri daripada umat Islam.
“Angka pelarian pasca Perang Dunia Kedua berjumlah lima belas juta orang; pembentukan negara India dan Pakistan mengakibatkan empat belas (14) juta manusia menjadi pelarian, sementara sepuluh (10) juta orang menjadi pelarian dalam konflik Pakistan Timur-Pakistan Barat sebelum tertubuhnya negara Bangladesh.
“Kejatuhan negara-negara Indochina ke tangan Komunis pada tahun-tahun tujuh puluhan telah mengakibatkan 1.8 juta manusia menjadi pelarian; pencerobohan Soviet Union dalam tahun lapan puluhan telah mengakibatkan 3.5 juta rakyat Afghanistan menjadi pelarian,” titahnya.
Titah baginda lagi, kini di rantau ini, masyarakat Islam Rohingya sedang menghadapi tekanan politik dan tekanan agama.
“Satu ratus empat puluh ribu (140,000) kaum minoriti Rohingya di barat Myanmar telah dikelompokkan di dalam kem-kem yang khusus disediakan di kawasan tanah paya kotor dengan persekitaran yang merebaknya wabak pelbagai penyakit.
“Dua ratus ribu (200,000) pelarian Rohingya telah cuba mendapatkan perlindungan di Bangladesh meskipun Bangladesh adalah negara lebih miskin daripada Myanmar,” titah Baginda.
Titah Sultan Nazrin lagi, perangkaan UNHCR, mencatatkan terdapat hampir enam puluh juta pelarian di serata dunia, menyamai bilangan penduduk di Korea Selatan, menyamai bilangan penduduk negara kedua puluh sembilan terbesar di dunia.
Setiap pelarian tegas Baginda sentiasa mengharapkan sinar baru malah ramai di antara mereka bersolat dan bermunajat memohon pertolongan ILAHI malah majoriti mereka juga mahu berhijrah untuk menerokai penghidupan baru.
Namun disebabkan, lebih banyak pihak tidak bersedia menerima kedatangan mereka, hidup mereka terumbang ambing, dihalang malah diusir daripada mendapat perlindungan; di kalangan yang cuba menggunakan laluan laut, rakit atau bot mereka tidak dibenarkan menghampiri pantai.
Sebahagian mereka juga mengalami nasib lebih malang, dijadikan bahan pemerdagangan untuk dijual; dilayan dengan zalim; dihina, dikurung, didera, dirogol; mereka dijadikan hamba, diperah tenaga tanpa imbuhan yang setimpal.
Baginda turut menjadikan contoh mayat Alan Kurdi seorang kanak-kanak Syria berketurunan Kurdish berwajah comel, berusia tiga tahun terdampar di persisiran pantai peranginan Bodrum di Turk 3 September lalu bukannya mangsa pertama dan mangsa terakhir insiden berkenaan.
“Ribuan lagi yang sedang menanggung penderitaan yang serupa. Manusia perlu mentafsirkan secara bijak setiap yang berlaku, apatah lagi kejadian-kejadian tragik yang amat menyayat hati.
“Malangnya, dimensi dan perspektif Islam yang jelas terkandung di dalam Al-Quran telah tidak dijadikan sumber utama rujukan dalam usaha menangani isu pelarian ketika ini; malah kaedah pendekatan yang dianjurkan oleh Islam telah disisihkan.
Tegas Baginda lagi, elemen keinsanan yang menjadi teras dan terbukti berperanan besar mencerminkan kemurnian Islam dalam hubungan kemanusiaan dan hubungan antarabangsa telah dipinggirkan.
“Ketika dunia sedang dilanda musibah besar ini, kembalilah kita mencari pedoman bersumberkan Al-Quran yang di dalamnya terkandung pelbagai hikmah.
“Konsep hak asasi manusia menurut perspektif Islam menegaskan bahawa tanggung jawab memberi perlindungan kepada manusia terutama di kalangan mereka yang berada dalam darurat adalah satu tanggung jawab yang wajib dipenuhi.
“Fenomena pelarian yang jumlahnya kini bertambah besar adalah satu ujian ILAHI kepada komuniti dunia, terutama sekali kepada para pemimpin Islam,” titah baginda.
Titah Nazrin lagi, cabaran baru menuntut minda untuk memikirkan pendekatan baru.
“Dunia ketika ini memiliki persepsi negatif terhadap dana bersumberkan institusi Islam yang disyaki sedang membiayai kegiatan terrorist.
“Persepsi negatif tersebut wajib diperbetulkan melalui penglibatan aktif organisasi dan institusi Islam menyalurkan dana untuk membiayai program-program kemanusiaan,” titahnya lanjut.
Perangkaan tidak sekadar menunjukkan lapan puluh peratus pelarian terdiri daripada umat Islam, malah ia turut menunjukkan peratus terbesar pelarian berasal dari wilayah yang dikuasai dan didiami oleh majoriti umat Islam.
Perangkaan juga jelas baginda menunjukkan, peratusan terbesar bantuan yang diperlukan adalah untuk program-program di wilayah dan negara yang majoriti penduduknya adalah umat Islam.
“Sesungguhnya adalah menjadi tanggung jawab kepada setiap kita yang telah dilimpahkan dengan kekayaan dan kelebihan untuk tampil membantu golongan yang sedang menanggung derita kesusahan.
“Ummah terutamanya, dan seluruh umat manusia wajib merenung secara mendalam semangat keinsanan yang telah dicerminkan oleh kaum Ansar di Medinah 1437 tahun yang lalu.
“Semangat Ansar ini wajib difahami, diterokai, dihayati lalu dijelmakan kembali dan sempena sambutan ulang tahun hijrah kali ini, marilah kita semai di dalam hati kita SEMANGAT ANSAR,” titahnya lagi.