Isu Panas

‘Kerajaan BN ingkar janji’

MARANG – Pas Terengganu menyifatkan pengumuman kenaikan kadar tol di beberapa lebuh raya seluruh negara adalah antara siri pengingkaran janji kerajaan BN dalam PRU13 lalu, yang memberi kesan dan menekan kehidupan rakyat bawahan.

Ketua Penerangan Pas Terengganu, Mohd Nor Hamzah berkata, walaupun kenaikan kadar tol hanya berlaku di sekitar Kuala Lumpur, tetapi ia tetap beri kesan kepada kenaikan harga barang kerana pusat ekonomi negara ada di sana.

“Bagi lebuh raya yang lain, saya percaya kenaikan tol akan berlaku dalam masa terdekat kerana dikatakan kadar tol sudah lama tidak dinaikkan. Saya percaya tunggu masa (untuk diumumkan) sahaja.

“Apatah lagi kenyataan Menteri Besar (Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman) dalam Sidang Dun, Mei lalu, yang memaklumkan kutipan tol LPT2 akan bermula selepas September. Saya yakin rakyat Terengganu akan dihadiahkan dengan kadar tol baru.

“Ia menambah lagi keperitan rakyat kerana baru minggu lepas, kerajaan umum kenaikan harga minyak, walaupun harga minyak di pasaran dunia hanya berlegar di bawah USD50 sebarrel,” katanya.

Menurut Mohd Nor, kerajaan menaikkan harga bahan api mengikut harga pasaran semasa harga minyak dunia tinggi, namun ketika harga minyak dunia turun, kerajaan menggunakan alasan nilai ringgit pula jatuh.

“Persoalan sekarang, kenapa RM jatuh? Apa penyebab utama? Mungkin faktor kenaikan harga minyak dunia di luar kawalan kita, tapi kejatuhan nilai mata wang adalah sebaliknya.

“Ini jelas dengan kritikan bekas Menteri Kewangan, Tun Daim Zainudin bahawa kejatuhan RM kerana pelabur sudah hilang keyakinan kepada kerajaan di bawah pimpinan Datuk Seri Najib Tun Razak. Najib gagal meyakinkan pelabur bahawa ekonomi negara berada dalam keadaan baik dan kukuh,” katanya.

Beliau yang juga Adun Bukit Payong berkata, mungkin pelabur yakin dengan keadaan ekonomi negara berada dalam keadaan baik sekiranya pelbagai isu seperti 1MDB, GST, TTPA, penangkapan menggunakan Sosma dan kejatuhan teruk saham FGV, tidak diselesaikan.

“Isu-isu ini sebenarnya menekan hidup rakyat bawahan kerana apa-apa kesan buruk ekonomi yang berlaku, ia akan terkena kepada rakyat bawahan dahulu yang tinggal di kampung dan felda di seluruh negara, “ katanya.

-Sinar Harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");