Isu Panas

Kerajaan PKR Selangor jangan ‘lepas tangan’

SHAH ALAM – Kerajaan PKR Selangor diingatkan supaya tidak menolak tanggungjawab kepada kerajaan Pusat dalam soal mengawal harga pasaran rumah khususnya di kawasan Lembah Klang yang disifatkan terlalu me­lambung tinggi.

Ingatan itu ditegaskan oleh Penyelaras Ahli-Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Barisan Nasional (BN) Selangor, Mat Nadzari Ahmad Dahlan berikutan kaji selidik daripada laman web hartanah, PropertyGuru Malaysia pada separuh pertama tahun ini mendapati 75 peratus rakyat negara ini tidak berpuas hati dengan pasaran hartanah semasa yang disifatkan terlalu mahal.

Menurutnya, hasil soal selidik itu dilihat mempunyai asas dan mengambil kira realiti semasa ketika ini khususnya di Selangor yang mana berdasarkan laporan Pusat Maklumat Harta Tanah Negara (Napic) pada suku kedua 2014 sahaja, harga purata perumahan di negeri ini direkodkan mencecah RM437,440 sebuah.

“Harga purata rumah itu jika dilihat adalah terlalu tinggi dan amat sulit khususnya bagi rakyat yang berpendapatan sederhana di antara RM3,000 hingga RM5,000 sebulan. Kita juga jangkakan nilai hartanah di negeri ini akan terus meningkat dari semasa ke semasa.

“Namun, jika pentadbiran PKR Selangor khususnya Menteri Besar, Mohamed Azmin Ali menyatakan kerajaan negeri mengambil kira kebajikan dan beban rakyat, maka sewajarnya mereka telah mempunyai strategi serta pendekatan untuk menurunkan harga rumah agar mampu dan sesuai dengan pendapatan purata rakyat berpendapatan sederhana di negeri ini.

“Bagaimanapun, kerajaan ne­geri seolah-olah tidak mempunyai pendekatan atau strategi untuk me­ngawal harga perumahan di Selangor melibatkan golongan kelas pendapatan berkenaan termasuklah golongan muda. Mereka juga turut terbeban dari segi kewangan untuk membeli hartanah di negeri ini jika harga terlalu tinggi,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Dalam pada itu, Mat Nadzari yang juga ADUN Batang Kali mahu kerajaan negeri tidak menuding jari kepada mana-mana pihak khususnya kerajaan Pusat dalam isu perumahan rakyat di negeri ini.

Sebaliknya, beliau turut mencabar kerajaan negeri supaya menyediakan insentif khas kepada rakyat berpendapatan pertengahan di antara RM3,000 hingga RM5,000 sebulan yang layak bagi meringankan beban mereka untuk membeli rumah kediaman sendiri dalam Bajet Selangor 2016 yang akan dibentangkan oleh Menteri Besar pada 30 Oktober ini.

“Sebelum ini, Menteri Besar dilaporkan mengumumkan rizab negeri terkini berjumlah RM3.7 bilion. Jika demikian, adalah lebih baik kerajaan negeri menyediakan insentif khas kepada golongan berpendapatan pertengahan untuk memiliki kediaman sendiri,” katanya.

“Walaupun kerajaan negeri melaksanakan program rumah kos rendah mampu milik, namun kita percaya jumlahnya adalah terhad dan tidak dapat menampung permintaan yang ada. Maka adalah lebih baik kerajaan negeri mencari pendekatan menstabilkan harga rumah di Selangor atau menyediakan lebih banyak projek perumahan selari dengan permintaan rakyat,” ujarnya.

– See more at: http://www.utusan.com.my/berita/politik/kerajaan-pkr-selangor-jangan-8216-lepas-tangan-8217-1.149602#sthash.0whO1YWm.dpuf

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");