Sukan Hari Ini

‘Kerajaan tak campur tangan’

Kuala Lumpur: Keputusan belum diketahui, namun daripada bayangan awal diberikan Pesuruhjaya Sukan Datuk Zaiton Othman (gambar), Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) boleh menarik nafas lega.

Menurut Zaiton, beliau memberi jaminan sebarang tindakan ke atas FAM susulan insiden kekecohan Ultras Malaya di Stadium Shah Alam pada 8 September lalu tidak akan dilihat sebagai campur tangan kerajaan sehingga boleh mengundang risiko digantung Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA).

“Insya-Allah tidak, (akan dilihat sebagai campur tangan dari kerajaan) kerana kita sudah pertimbangkan perkara ini sejak dari awal lagi,” katanya.

Dalam laporan Arena Metro semalam, Timbalan Presiden FAM Datuk Mokhtar Ahmad berharap Zaiton dapat membuat pertimbangan sewajarnya dengan tidak meletakkan mereka dalam bahaya jika Pesuruhjaya Sukan menjatuhkan hukuman kepada mereka.

Setakat ini Pesuruhjaya Sukan masih belum membuat sebarang pengumuman berhubung isu itu selepas FAM menjawab surat tunjuk sebab seperti diarahkan pada 9 September lalu.

Mengimbas semula insiden itu, segelintir Ultras Malaya bertindak membakar bom asap, suar dan mercun sehingga mendatangkan bahaya kepada penonton, pegawai dan pemain pada aksi perlawanan kelayakan Piala Dunia 2018/Piala Asia 2019 antara Malaysia dengan Arab Saudi.

FIFA sudah menjatuhkan hukuman denda 40,000 Swiss francs (RM180,000) dan beraksi satu perlawanan tanpa penonton selain memberikan kemenangan percuma 3-0 kepada Arab Saudi.

Zaiton yang mempunyai kuasa mutlak dalam membuat keputusan di bawah Akta Pembangunan Sukan 1997 menyatakan masih memerlukan masa sebelum membuat keputusan.

“Saya tidak boleh komen lanjut mengenai bentuk atau tarikh hukuman yang dikenakan kepada FAM kerana masih memerlukan masa. Itu saja,” katanya.-harian metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");