Sukan Hari Ini

Ketiadaan Zamri amat dirasai

Kuala Lumpur: Berbaki tiga pusingan untuk memburu gelaran juara keseluruhan CP130 Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS, pasukan di bawah naungan Honda, Harian Metro Y-TEQ SCK Honda Racing mengakui ketiadaan Mohd Zamri Baba amat dirasai terutama menjelang saingan pusingan kelapan di Litar Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS), hujung minggu ini.

Permulaan musim 2015 amat baik bagi mereka apabila Zamri menamatkan perlumbaan di podium dan dilihat berpeluang untuk membawa pulang gelaran keseluruhan individu dan berpasukan musim ini.

Bagaimanapun, pelumba itu mengalami kemalangan sewaktu beraksi dalam saingan Kejuaraan Motosikal Asia FIM di Litar Sentul, Indonesia dan tidak dapat kembali beraksi sama ada dalam saingan di peringkat kebangsaan mahupun antarabangsa.

Malah ketiadaan Zamri juga menyaksikan pasukan SCK gagal mencapai keputusan memberangsangkan sejak pusingan kelima namun mereka tetap positif masih mampu bersaing untuk berada dalam kedudukan tiga pasukan terbaik musim ini.

“Zamri adalah ketua kepada pelumba dalam pasukan. Dari segi pengalaman, dia sama seperti Norizman (Ismail). Namun dari segi personaliti, dia mempunyai kualiti sebagai seorang ketua. Dia sentiasa memberi semangat dan membantu pelumba lain untuk beraksi ke tahap lebih tinggi,” jelas pemilik pasukan Harian Metro Y-TEQ SCK Honda, Soong Chee Kieong.

“Ketika ini pelumba yang mempunyai semangat seperti itu adalah pelumba muda kami, Mohd Nor Hafiz Nor Azman. Namun dia masih mentah dari segi pengalaman dan belum cukup matang untuk memainkan peranan sebagai ketua.”

Bercakap mengenai aksi keseluruhan pasukan satelit Honda dalam kejuaraan tempatan, Chee Kieong mengakui musim ini lebih memihak kepada kem Yamaha.

PETRONAS Yamaha Maju Motor kini mendahului senarai keseluruhan berpasukan dengan 156 mata diikuti Yamalube AHM kedua dengan 133 mata.

Ketika ini, pasukan SCK terikat dengan PETRONAS Yamaha-CKJ di kedudukan ketiga dengan 128 mata.

-harian metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");