Membawang Hari Ini

Kifarah Mistik selit pengajaran

BEGITULAH antara pantun yang sering didendangkan tatkala bercakap mengenai perkara mistik. Kepercayaan masyarakat seperti mandi bunga untuk membuang sial, mewarisi saka, hantu-hantu akan berkeliaran pada malam Jumaat merupakan kisah-kisah mistik yang selalu diceritakan.

Namun, perkara-perkara khurafat ini yang terpesong dari ajaran agama boleh mendatangkan mudarat jika kita mempercayai secara melulu.

Dek kerana itu, TV3 menerusi slot Zehra mengajak penonton setianya untuk mengikuti 13 kisah mistik dalam Kifarah Mistik yang telah disiarkan bermula 16 Oktober lalu, setiap hari Jumaat, jam 9 malam.

13 kisah mistik yang dipaparkan ialah Mandi Bunga, Orang Ketiga, Pengasih, Malam Jumaat, Celupar, Gelandangan, Pendamping, Gantung, Silap Mata, Haruman Setanggi, Nifaq, Panas dan Malar Hitam.

Menurut pengarah, Heykal Hanifah, Kifarah Mistik merupakan kesinambungan kepada drama Kifarah yang pernah ditayangkan suatu ketika dahulu.

Katanya, keistimewaan drama kali ini terletak kepada perbezaan setiap episod di mana tiada kesinambungan daripada episod terdahulu dan turut dijayakan oleh pelakon yang berbeza.

Katanya, antara barisan pelakon yang terlibat adalah Elizad Sharifuddin, Aqasha, Nur Risteena, Nonny Nadhirah, Faezah Elai, Shukri Yahaya, Uqasha Senrose, Issey Titan, Jay Iswazir dan ramai lagi

“Biasanya kalau kita hasilkan drama bersiri, paling ramai pun barisan pelakon utama adalah tujuh atau lapan orang, tapi menerusi Kifarah Mistik, saya boleh katakan berpuluh artis terlibat dalam penggambaran drama bersiri ini.

“Namun yang berbezanya pembikinan drama ini, kita tak buat penggambaran sekali harung. Maksudnya untuk satu episod, kita ambil masa dua hingga ke tiga hari dan kita rehat sekejap sebelum melunaskan episod yang seterusnya.

“Begitu juga dengan artis, kita dah lock mereka sebulan lebih awal, supaya mereka boleh beri komitmen kepada babak yang melibatkan mereka,” katanya.

Bukan versi Tanah Kubur

Ditanya kemungkinan Kifarah Mistik akan dibandingkan dengan drama Tanah Kubur, Heykal berkata, kedua-dua drama ini tampil dengan tema yang berbeza.

“Kita tidak ada tampilkan babak-babak kematian yang ekstrem. Kalau ada pasal pembalasan pun, jika ia tidak kena pada orang itu, ia mungkin kena pada ahli keluarga.

“Selain itu, rekaan set dan prop juga sangat berlainan,” katanya.

Masih menjalani penggambaran dan dijangka selesai sebelum penghujung November, Heykal berkata, setakat ini pihak produksi mahupun pelakon tidak mengalami apa-apa gangguan sepanjang berada di set.

“Alhamdulillah tidak ada apa-apa perkara mistik yang berlaku dan boleh saya katakan drama ini bukanlah terlalu seram atau sarat unsur mistik tapi kita seimbangkan dengan menyelitkan unsur komedi,” katanya.

Skrip beri cabaran

Berkongsi cabaran lain dalam penghasilan drama bersiri ini, Heykal berkata, skrip memberi sedikit cabaran kepadanya.

Jelasnya, dia dengan perbincangan bersama penulis skrip, banyak mengolah semula skrip agar lebih sesuai dengan perjalanan cerita dan dalam masa sama, tidak menimbulkan kontroversi.

“Saya banyak seimbangkan jalan cerita agar tidak tampil terlalu mistik dan dalam masa sama, saya juga tidak mahu timbul isu kontroversi menerusi episod-episod yang kita paparkan.

“Jadi baik saya mahupun penulis skrip, kami banyak melakukan kajian apa yang sesuai ada untuk sesebuah jalan cerita itu baik melibatkan skrip mahupun prop. Biasanya jika dia mampu tukar, dia akan tukar dan jika tidak, saya olah jalan cerita itu ikut kesesuaian,” katanya.

Jangan ketinggalan menyaksikan episod ketiga malam ini, Kifarah Mistik tampil dengan kisah Pengasih.

-Sinar harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");