Sukan Hari Ini

KLGCC venue sukar

Kuala Lumpur: Pemain golf wanita nombor satu dunia Park Inbee mengakui bukan mudah mengulangi pencapaian muncul juara LPGA Malaysia Sime Darby apabila kejohanan edisi 2015 bermula hari ini.

Inbee yang tidak mengambil bahagian di kejohanan ini tahun lalu kerana melakukan persiapan perkahwinan berkata, Kuala Lumpur Golf and Country Club (KLGCC) adalah venue yang sukar serta susah diramal.

“Saya gembira dapat kembali semula ke sini selepas terlepas tahun lalu. Sasaran saya untuk bermain sebaik mungkin, tapi kelab golf ini sukar diramal kerana kadang-kala nampak sukar,” katanya pada sidang media semalam.

Jelasnya, ada beberapa lubang yang perlu diawasi supaya tidak melakukan kesilapan, namun secara keseluruhan dia sangat gembira untuk kembali semula ke Malaysia kerana menyukai penonton serta kejohanan ini.

“Saya juga akan menjadikan aksi cemerlang di Kejohanan The Evian dan Terbuka Kanada Pasifik Wanita sebagai motivasi. Saya akan belajar daripada pengalaman menduduki ranking nombor satu dunia dan menikmati beberapa kejohanan sebelum berakhir musim 2015.

“Selepas enam tahun kejohanan ini dianjurkan saya sentiasa melihat pelbagai perubahan termasuk tahun ini apabila mereka mengumpul dana untuk kajian pembedahan kanser payu dara. Setiap tahun saya lihat ada saja perkara baru di kejohanan ini kerana memberi pulangan semula kepada masyarakat,” kata pemain berusia 27 tahun itu.

Kejohanan kali ini dijangka menarik apabila tertumpu kepada saingan tiga penjuru membabitkan Inbee bersama dua lagi bekas pemain nombor satu dunia Lydia Ko (New Zealand) dan Stacy Lewis (Amerika Syarikat).

“Tahun lalu persaingan antara saya dan Stacy, kali ini Lydia pula. Sejak beberapa tahun kebelakangan ini kita dapat lihat individu berbeza mengungguli takhta nombor satu dunia. Saya rasa satu penghormatan untuk berada dalam perlumbaan ini.

“Apabila anda berada di ranking nombor satu dunia dan mempunyai pencabar yang bagus, ia dapat meningkatkan lagi prestasi permainan. Lagi baik pesaing bermain ia lagi keras saya perlu berusaha,” katanya yang muncul juara Terbuka Britain Julai lalu.

Dalam masa yang sama Inbee juga mengakui ia satu penghormatan tinggi jika dapat mewakili negaranya beraksi di Sukan Olimpik 2016 Rio.

“Walaupun berbeza dengan kejohanan profesional, Olimpik sangat istimewa kerana anda mewakili negara kelahiran. Berada di sana sudah cukup membanggakan tanpa memikirkan sebarang pingat untuk dibawa pulang,” katanya.

LPGA Malaysia Sime Darby menawarkan hadiah wang tunai keseluruhan AS$2 juta (RM8.5 juta).

– Metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");