Berita Hari Ini

Krisis pelarian: Malaysia jadi contoh

KUALA LUMPUR – Inisiatif Kerajaan Malaysia untuk menerima 3,000 pelarian Syria masuk ke negara ini wajar dijadikan contoh oleh negara Islam lain dalam usaha menangani krisis pelarian negara Timur Tengah.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, tindakan itu merupakan satu inisiatif dan hasrat murni yang membawa nama baik negara dari segi jangka panjang.

Menurut Asyraf, sebagai Pengerusi Negara Asean dan antara negara Islam yang dihormati, secara langsung Malaysia menjadi contoh bagaimana inisiatif itu dibuat bagi aspek kemanusiaan.

“Kenapa tidak negara besar lain yang mempunyai kemewahan bantu saudara Islam kita atas dasar kemanusiaan tanpa mencampuri isu politik mereka,” katanya.

Selain itu, Asyraf berkata, tindakan itu juga melihat bagaimana usaha untuk membantu Syria di masa akan datang, sebagaimana usaha Malaysia membantu Bosnia suatu masa dahulu ketika dihimpit peperangan.

“Sewaktu membantu Bosnia, kita telah berjaya membentuk satu generasi baharu yang mana akhirnya mereka bukan kekal di sini, sebaliknya telah kembali ke tanah air mereka menyumbang kepada negara sebagai negarawan dlm pelbagai sektor,” katanya.

Beliau berkata, usaha yang sama difikirkan bagi pelarian Syria untuk mencari mekanisma membimbing anak-anak mereka supaya akan pulang dan membantu membangunkan semula negara mereka kelak

Baru-baru ini, dilaporkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ketika berucap pada perbahasan sesi ke-70 Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) berkata, mangsa-mangsa pelarian perang itu akan diambil secara berperingkat-peringkat dalam tempoh tiga tahun akan datang.

Ianya merupakan satu bentuk penyelesaian antarabangsa baharu adalah diperlukan untuk menangani krisis migrasi dunia ekoran pergolakan di rantau itu.

Asyraf Wajdi ditemui ketika merasmikan Persidangan Antarabangsa mengenai Islam, Sains dan Pembangunan Mampan: Maqasid al-Syariah dan Kesejahteraan Kemanusiaan di Institut Antarabangsa Kajian Tinggi Islam Malaysia (IAIS).

Sementara itu, persidangan yang berlangsung selama dua hari, dianjurkan bertujuan mengenal pasti isu dan cabaran yang perlu ditangani dalam mencapai Pembangunan Lestari.

Persidangan itu turut melihat bagaimana prinsip-prinsip dan nilai-nilai utama dari perspektif Islam boleh dilaksanakan untuk membimbing dan menyokong pembangunan lestari.

Selain itu, ianya berhasrat menggalakkan pemahaman yang lebih baik dan penggunaan maqasid al-syari’ah dalam pemakaiannya bagi menangani dan menyelesaikan ketidakseimbangan alam dan manusia yang mengancam kelestarian masa depan.

-Sinar Harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");