Jenayah

Kulit mayat sudah mereput terurai

KLUANG: Mayat seorang wanita tanpa kepala yang dipercayai dibunuh ditemui Sabtu lalu, tidak dapat dikesan identitinya menerusi bedah siasat.

Ekoran itu, kaedah ujian DNA perlu dijalankan ke atas mangsa.

Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Mohamad Laham berkata, ia berikutan keadaan mayat yang mereput dan pihaknya telah menghantar spesimen mayat itu ke Jabatan Kimia di Kuala Lumpur bagi mengesan identiti mangsa.

Menurutnya, hasil bedah siasat yang dijalankan di Hospital Enche Besar Hajjah Kalsom (HEBHK), Kluang, Ahad lalu, tidak berjaya mengesan identiti mangsa kerana keadaan kulit mayat sudah mereput terurai.

“Punca kematian juga tidak dapat ditentukan doktor atas alasan mayat telah mereput termasuk kulit pada ibu jari mangsa. Situasi itu menyukarkan proses mengenal pasti identiti sebenar mangsa.

“Pihak hospital juga gagal menentukan sama ada kematian mangsa berpunca daripada jenayah seksual (rogol) namun tidak menafikan jika ia berlaku memandangkan tiada seluar dalam yang ditemui pada mayat,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Mohamad menggesa orang awam yang mempunyai maklumat atau melihat kejadian tersebut tampil menghubungi pihaknya.

Beliau juga berkata, sesiapa yang ada kehilangan ahli keluarga diharap dapat memaklumkan kepada polis bagi membantu siasatan.

Ahad lalu, media melaporkan mayat tanpa kepala ditemui di kawasan semak Kampung Parit Haji Hashim, Simpang Renggam lebih kurang jam 10.25 pagi.

Susulan itu, sepasukan anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah Kluang bersama-sama Unit Anjing Pengesan (K9) dikejarkan ke tempat kejadian untuk menjalankan siasatan dan mencari kepala mangsa di kawasan sekitar, namun usaha itu gagal.

Hasil siasatan awal mendapati, mayat tersebut seorang wanita berikutan penemuan pakaian dalam berwarna hitam pada badan mangsa selain sehelai kain berwarna hijau yang berkemungkinan adalah pakaian mangsa.

-Sinar Harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");