LABUAN Core-IRM Marlin mencipta sejarah apabila merangkul kejuaraan pada Kejohanan Ragbi 10 Sebelah Labuan dengan mengetepikan 17 kelab ternama lain termasuk dari Brunei.
Kelab ragbi dari Labuan itu beraksi cemerlang pada kejohanan edisi ke-15 itu dengan menewaskan kelab ragbi Sabah, Osca Warriors 6-0 pada perlawanan akhir di padang Dataran Labuan.
Anjuran Persatuan Ragbi Labuan (LRA) itu yang menyaksikan peningkatan jumlah penyertaan pasukan negeri, menawarkan dua trofi – Piala Anggota Parlimen Labuan dan Piala Ketua Umno Labuan.
Setiausaha LRA, Ahmad Effendy Abd Razak berkata, kejayaan itu hasil komitmen tinggi pemain dan jurulatih.
Katanya, LRA berusaha mempromosikan kejohanan berkenaan bagi menarik pemain antarabangsa menyertainya tahun depan selaras dengan agenda Labuan menjadikan ragbi sebagai produk pelancongan di daerah berkenaan.
“Kami sedang merangka strategi promosi dan melaksanakan kempen yang agresif bagi menarik lebih banyak pemain antarabangsa menyertai kejohanan itu tahun depan.
“Dengan usaha kami yang konsisten dan sokongan berterusan daripada kerajaan terutama Kementerian Wilayah Persekutuan serta Kementerian Belia dan Sukan, kita akan dapat melihat Kejohanan Ragbi 10 Sebelah Labuan ini adalah sama tahap dengan acara antarabangsa
lain yang diluluskan seperti Kejohanan Tujuh Sebelah Singapura dan Hong Kong,” katanya
Kejohanan itu yang mula diperkenalkan pada 2001, menarik kelab ternama di Borneo dan Semenanjung Malaysia seperti Sandakan Eagles, Miri Rhinos, Cobra, Kelab Diraja Selangor, Force Blackhawk, Brunei serta Brunei Yatchies Penaga.
– Bernama