Berita Hari Ini

Lebih 2,000 tan sampah dari sungai setiap bulan

PUTRAJAYA – Masalah pembuangan sampah ke dalam sungai semakin membimbangkan apabila Jabatan Pengairan dan Saliran terpaksa mengeluarkan 2,248.6 tan sampah dari sungai setiap bulan melalui kerja-kerja penyelenggaraan yang dijalankan.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, sehubungan itu, sebanyak RM80.95 juta diperlukan setahun untuk menyelenggara sampah-sampah tersebut iaitu RM3,000 bagi setiap satu tan sampah yang dikeluarkan.

“Kebanyakan tapak pembuangan sampah haram terletak di tebing sungai dan kerajaan negeri dicadangkan meningkatkan komitmen dalam program kerjasama bersama swasta bagi memajukan tebing sungai serta kawasan sekitar.

“Kerjasama ini boleh mengurangkan kes pencerobohan tebing sungai serta membanteras tapak-tapak pembuangan sisa pepejal haram. Pendekatan ini juga berpotensi meningkatkan nilai hartanah di kawasan sekitar,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan selepas mesyuarat Majlis Sumber Air Negara di sini hari ini.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid berkata, Majlis Sumber Air Negara juga bersetuju menubuhkan satu jawatankuasa yang dipengerusikan oleh beliau sendiri untuk melihat syarat-syarat bagi aktiviti pengambilan pasir sungai di peringkat negeri.

Ujar beliau, keadaan itu bertujuan memastikan pengusaha yang terlibat dalam aktiviti pengambilan pasir diberi skop lebih jelas selain menekankan soal tanggungjawab berdasarkan syarat setiap negeri.

“Perlanggaran syarat kelulusan permit oleh pengusaha boleh menjejaskan kesihatan dan keselamatan penduduk akibat daripada kualiti air sungai yang merosot.

“Keadaan itu turut menjejaskan kegiatan ekonomi seperti perikanan dan ekopelancongan serta meningkatkan kos projek tebatan banjir dan penyelenggaraan sungai,” katanya.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid berkata, Pelan Keselamatan Air yang telah diperkenalkan oleh kerajaan bertujuan untuk memperkukuhkan program pengawalan kualiti air minuman.

“(Oleh itu) Kerjasama dan komitmen agensi-agensi Persekutuan dan negeri yang bertanggungjawab terhadap kawalan kawasan tadahan air adalah amat penting bagi menjamin kualiti air minum yang dibekalkan kepada pengguna,” katanya.

– See more at: http://www.utusan.com.my/berita/nasional/lebih-2-000-tan-sampah-dari-sungai-setiap-bulan-1.147030#sthash.mUfar26Z.dpuf

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");