Membawang Hari Ini

Lelaki penghias muka depan ZIP

Dalam usaha memperkenalkan majalah digital, Zon Interaktif Pesona (ZIP) sebagai wadah yang menghiburkan, tujuh selebriti wanita popular tempatan dengan perkongsian kisah berbeza-beza ditampilkan sebagai video cover atau penghias muka depan ZIP, sejak ia diperkenalkan Mac lalu.

Bermula dengan edisi pertama yang menampilkan Nora Danish, seterusnya Fathia Latiff, Tasha Shila, Neelofa, Datuk Siti Nurhaliza, Nabila Huda dan September lalu, menerusi topik ‘Queen of Horror’, Maya Karin, menghiasi keluaran ke-7 ZIP.

Percaya lelaki juga mempunyai kuasa tarikan tersendiri, ZIP buat julung kalinya mengetengahkan aktor meningkat naik, Shukri Yahaya, 27, sebagai ‘1st cover male’.

Paling menyerlah di antara rakan seangkatan, ketampanan susuk jejaka Melayu dimilikinya, mengingatkan pada ciri maskulin bintang filem legenda, Allahyarham Nordin Ahmad dan Datuk Rosyam Nor.

Menderas laju bersama supercar Lamborghini, sebagai simbolik kerjaya lakonannya yang mendadak naik, penggambaran berpanoramakan kemegahan bandar raya Putrajaya.

Penghasilan video yang cuma berdurasi 30 saat, namun menyaksikan pembabitan pelbagai pihak penajaan dalam usaha menjayakannya. Akui Shukri, ia pengalaman luar biasa apabila diberi peluang memandu Lamborghini Black Chrome Aventador bernilai RM2 juta oleh pemilik supercar itu juga ahli perniagaan berjaya, Mohd Solih Toha.

Solih yang menjalankan perniagaan Oil & Gas, restoran Podium by Daun dan pusat karaoke keluarga Urban KTV Concepts di Plaza Damas, Sri Hartamas, turut mempamerkan skil pemanduan seorang pelumba dalam sebahagian besar babak video itu.

Pemandangan hebat dari aras udara menggunakan teknologi drone adalah footage hasil tajaan RCD Concept Sdn Bhd yang dirakam sendiri oleh pemilik syarikat itu, Datuk Rozaimi Che Di.

Tidak sekadar menyediakan ruang selesa untuk kru ZIP dan Shukri untuk bersiap, Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya, bermurah hati menaja makan minum buat produksi ZIP. Bahkan membenarkan kami menggunakan ruang legar lobi VIP sebagai lokasi babak penamat, perjalanan Shukri.

Kerjasama daripada Perbadanan Putrajaya sebagai penaja logistik di beberapa lokasi menarik sekitar Putrajaya antaranya Kompleks Kerajaan, Dataran Gemilang, Seri Wawasan Bridge dan Lebuhraya Wadi Ehsan, merealisasikan impian ZIP untuk mempamerkan keindahan landskap dan kemegahan infrastruktur yang terdapat di Putrajaya.

Pelaksanaan tugasan ini pastinya tidak mampu dilaksanakan dengan baik tanpa kerjasama daripada Ibu Pejabat Polis Putrajaya yang menyediakan bantuan polis trafik untuk memastikan kelancaran penggambaran.

Melengkapi komponen penting dalam senarai penajaan, adalah pereka sut terkenal, Bon Zainal selaku penaja pakaian, dipadankan dengan sepatu @twenty2nd_exclusive serta seni tatarias dilakukan Putera Alamien.

Menyentuh pengisian bahan ZIP Oktober, selain Shukri menerusi artikel utama ‘Kagumi James Franco’, ruangan FashionYoda mencoretkan perancangan pereka fesyen terkenal, Jovian Mandagie memasuki pasaran Dubai.

Membawa matlamat sama, usaha menembusi pasaran global turut menjadi sasaran jenama beg tangan tempatan iaitu Sakura Malaysia, topik yang diutarakan menerusi segmen NuFashion. Masih dalam kolum yang sama, jenama pakaian dalaman wanita Wacoal menunjukkan keprihatinan membantu Kempen Cegah Kanser.

Ruangan Chantique yang menampilkan jurusolek terkenal, Epie Temerloh melalui topik solekan ‘doll’ membabitkan pelakon Cha Cha Maembong sebagai modelnya pada edisi lalu, beralih kepada solekan Haute Street. Iaitu konsep pilihan makeup artist Eva Sharul sebagai tetamu Chantique edisi ZIP Oktober.

Festival Filem Malaysia ke-27 Serlahkan Motif Batik, judul yang dipilih ruangan ZIPKarpet kali ini, di susuli informasi mengenai aksesori ‘steampunk’, Dylanlex dan Vape Termahal Dunia yang menjadi fokus segmen Seleksi.

Tip kesihatan yang baik untuk golongan lelaki pelbagai peringkat usia, TipZIP mengutarakan isu ‘Bahaya Angin Pasang’. Manakala ZIPShape, coretan artikel yang boleh dijadikan inspirasi buat jejaka yang mahu memiliki susuk tubuh Mr. Global Malaysia.

Musim Baru DFP Lebih Mempesona, artikel pilihan ZIPFeature September, dipanjangkan dengan kegiatan seni yang berlangsung di sekitar ibu negara.

Bagi keluaran Oktober, teater MUD : Our Story Of Kuala Lumpur yang berlangsung di Panggung Bandaraya serta turut disenarai dalam Pelan Induk Pelancongan Kuala Lumpur 2015-2025, menawarkan diskaun kepada pelancong dan penonton tempatan.

-Metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");