Membawang Hari Ini

Lufya pohon pendekatan positif

SEMAKIN bahagia dengan perubahan yang dikecapi, aktres jelita, Lufya Omar menganggap sokongan individu di sekeliling dan juga peminat sebagai kekuatan tambahan untuknya berhijrah.

Pun begitu, Lufya juga tidak terlepas daripada menerima teguran daripada pengikutnya terutamanya di laman sosial.

“Alhamdulillah, ramai yang menyokong dan memberi galakan kepada saya sejak mengambil keputusan untuk berhijab.

“Setakat ini, saya sangat bersyukur tidak pernah dilemparkan dengan kata-kata negatif.

“Lebih seronok, peminat turut memberi semangat dan dorongan kepada saya untuk terus membuat perubahan. Saya sangat menghargainya,” katanya.

Pada masa sama, pelakon berusia 30 tahun ini turut menasihatkan peminat di luar sana agar mengambil pendekatan positif dalam menegur artis kesayangan mereka terutamanya di laman sosial.

“Saya kurang berkenan dengan peminat yang suka mengutuk. Jika mahu menegur, tegurlah dengan sebaik-baiknya. Gunakan perkataan yang elok.

“Jangan mengutuk kerana kutukan boleh melemahkan semangat seseorang. Apa salah tegur cara elok-elok, biar mereka tidak rasa hilang semangat mahu ke arah yang lebih baik.

“Seeloknya sentiasalah memberi dorongan dan sokongan agar perubahan dapat dilihat dari semasa ke semasa,” katanya.

Mengambil contoh penghijrahan Stacy, pemilik nama sebenar Lutfyah Sheikh Omar ini sempat melahirkan perasaan kesalnya dengan sikap tidak bertanggungjawab sesetengah peminat yang agak terburu-buru.

“Jujurnya, saya sangat menyokong keputusannya walaupun kami bukanlah berkawan secara rapat.

“Stacy baru saja memeluk Islam dan seharusnya dia diberi peluang untuk belajar mengenainya. Daripada mengutuk, adalah lebih baik berkongsi ilmu agama dengannya.

“Saya berharap semua pihak dapat memberi ruang dan masa kepada artis yang baru berhijrah dan mengenakan hijab untuk mereka benar-benar menyesuaikan diri dengan penampilan baharu mereka,” katanya.

Dalam perkembangan lain, bekas peserta Akademi Fantasia musim keenam (AF6) itu baharu sahaja tamat menjalani penggambaran telefilem Dibawah Langit Mu Aku Berselawat di samping penyanyi, Lah Ahmad dan pelajar-pelajar tahfiz dari Maahad
Tahfiz Ibnu Sina, Kedah.

Situasi tersebut memberikan pengalaman baharu kepada pelantun lagu Doaku sekali gus menyumbang aura positif dalam dirinya.

“Saya gembira dapat bergandingan dengan Lah. Jujurnya, saya kagum dengan kemerduan suaranya dalam berqasidah.

“Malah, ketika berada di sana, ia memberikan pengalaman yang sangat berbeza, lebih positif. Saya juga banyak bertanya kepada ustaz dan pelajar-pelajar di sana mengenai hal agama.

“Sebenarnya, apabila ditawarkan dengan watak Islamik, saya sangat menghargainya. Bukan saya tidak mahu mencuba sesuatu yang lain tetapi saya rasa ia lebih sesuai dengan penampilan saya sekarang.

“Secara tidak langsung saya juga dapat berdakwah menerusi lakonan,” katanya.-sinar harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");