Sukan Hari Ini

Malaysia tewas 2-1 kepada India

SKUAD hoki remaja negara gagal mengulangi kejayaan semalam apabila akur dengan kekalahan 2-1 dengan juara bertahan India pada Kejohanan Piala Sultan Johor di Stadium Hoki Taman Daya di sini, malam ini.

Mula babak pertama, skuad kendalian Arul Selvaraj itu ternyata banyak dipengaruhi rentak permainan India sehingga banyak penguasaan bola berpihak kepada India.

Skuad Projek 2016 itu lebih banyak diasak oleh India dalam pencarian gol pertama mereka dan lebih banyak mempertahankan gawang mereka.

Meskipun begitu, India juga gagal menjaringkan sebarang gol walaupun berjaya memperolehi dua peluang pukulan sudut penalti daripada Malaysia yang gagal mendapat sebarang pukulan penalti.

Separuh masa pertama menyaksikan kedua-dua pasukan terikat 0-0.

India yang dikendalikan oleh jurulatih Harenda Singh, meneruskan serangan mereka pada separuh masa kedua permainan dan memperolehi pukulan sudut penalti ketiga pada minit ke-38.

Bagaimanapun, gol pertama India hanya berjaya dihasilkan pada minit ke-41 apabila pukulan sudut penalti keempat yang dihantar oleh Gurjant Singh berjaya disempurnakan oleh Harmanpreet Singh.

Meskipun Malaysia memperolehi pukulan sudut penalti pertama pada minit ke-49, hantaran Nik Mohd Aiman Nik Rozemi gagal disempurnakan oleh rakan
sepasukan.

India makin garang dalam pencarian gol seterusnya apabila gol kedua menerusi pukulan sudut penalti dihasilkan menerusi jaringan Harmanpreet Singh pada minit ke-57.

Tuan rumah akhirnya memperolehi gol pertama apabila baki perlawanan tinggal tiga minit lagi apabila hantaran pukulan sudut penalti oleh Nik Mohd Aiman akhirnya berjaya disempurnakan oleh Muhammad Shahril Saabah.

Malaysia turun ke tangga kelima selepas perlawanan malam ini dengan kekal empat mata dan akan menentang Pakistan, Sabtu ini.

Terdahulu, Argentina memperolehi kemenangan kedua dalam kejohanan ini setelah mengalahkan Pakistan 3-1.

Kesemua gol Argentina disumbangkan oleh kapten pasukan, Maico Casella, menerusi jaringan sudut penalti (minit ke-22 dan 27) dan satu gol padang (minit ke-37).

Gol tunggal Pakistan pula dijaringkan oleh Muhammad Qassim menerusi gol padang, dua minit sebelum wisel penamat permainan dibunyikan.

Sementara itu, finalis tahun lepas, Great Britain terpaksa akur apabila seri 4-4 dengan Australia di saat terakhir perlawanan.

Empat gol skuad kendalian Jon Bleby itu dijaringkan oleh Jack Clee (minit ke-9), kapten pasukan Luke Taylor (minit ke-27 dan 35) dan Jack Waller (minit ke-67).

Sementara itu, empat gol Australia dijaringkan oleh Ryan Proctor (minit ke-31), Frazer Gerrard (minit ke-54), Stephen Gale (minit ke-67) dan Andrew Scanlon (minit ke-70). – Bernama

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");