Berita Hari Ini

Mangsa Banjir Gembira Terima Rumah

KUALA KRAI – “Syukur, alhamdulillah, selepas sembilan bulan menunggu akhirnya, kakak dapat tinggal di rumah baru,” luah Che Minah Mohd Soud, 44, mangsa banjir yang tinggal di penempatan sementara Pahi dekat sini.

Suri rumah ini bersama suaminya, Saudin Isa, 52, dan lima anaknya telah melalui detik sukar setelah rumah mereka rosak teruk akibat bah kuning yang melanda daerah ini dan beberapa daerah lain pada penghujung tahun lalu.

Menurutnya, mereka sekeluarga pernah tinggal di dapur setelah sebahagian ruang utama rumahnya tidak dapat didiami, malah mereka juga pernah tinggal di sekolah.

“Biarpun berhadapan dengan pelbagai kesukaran, saya bersyukur kerana mampu melalui detik-detik sukar itu dengan penuh kesabaran.

“ALLAH uji sebab nak bagi kami rumah yang lebih baik lagi,” katanya selepas menerima sebuah rumah dibina Islamic Aid Malaysia (IAM) dan Etiqa Takaful di Pahi, di sini, pagi semalam.

Lebih menggembirakan Che Minah, dia turut menerima barang kelengkapan rumah seperti peti ais, periuk nasi dan dapur gas.

Katanya, dengan pendapatan suaminya sebagai penoreh getah di kebun milik penduduk, mereka tidak mampu bina rumah baharu seperti yang diterimanya.

“Biarpun terpaksa tinggal di khemah dan tempat pemindahan lain dalam tempoh sembilan bulan kebelakangan ini, kami tetap bersyukur kerana bencana ini membuatkan kami lebih memahami erti kehidupan sebenar,” katanya.

Seorang lagi penerima, yang juga ibu tunggal kematian suami, Zinun Ibrahim, 62, turut meluahkan rasa syukur setelah menerima kunci rumah kekal, semalam.

Menurutnya, pelbagai dugaan dilaluinya selepas banjir sehingga pernah tinggal di sekolah selama sebulan.

“Saya akan memulakan hidup baru bersama anaknya di rumah baharu ini,” kata ibu dua anak ini.

Sebanyak 15 kunci diserahkan Ketua Pegawai Eksekutif, Etiqa Takaful Berhad, Ahmad Rizlan Azman.

Rumah mangsa banjir di Pahi dibina setinggi lapan kaki memandangkan kawasan berkenaan merupakan lokasi banjir.

Ahmad Rizlan berkata, Etiqa Takaful mengagihkan RM3.5 juta untuk membina 66 rumah mangsa banjir termasuk 20 lagi bakal dibina di Tanah Putih Gua Musang.

Menurutnya, pembiayaan pembinaan rumah kekal ini datangnya daripada pelanggan Etiqa Takaful dan dan selebihnya dibiayai daripada wang zakat syarikat.

“Inilah satu kelebihan kepada peserta pelan takaful kami apabila lebihan dari dana peserta akan disalurkan kepada tabung amal jariah yang kemudiannya digunakan untuk projek amal sebegini.

Selain pembinaan rumah kekal, Etiqa Takaful turut menyumbang kelengkapan rumah kepada mangsa banjir.

-Sinar Harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");