Isu Panas

Melayu usah berniat jatuhkan Umno

SABAK BERNAM – Kaum Melayu diingatkan supaya tidak sesekali menanam niat untuk menjatuhkan Umno pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) kerana jika parti itu tewas, tidak mustahil mereka juga bertanggungjawab menjatuhkan Islam selama-lamanya di negara ini.

Pengerusi Biro Pendidikan Umno, Tan Sri Prof Dr Ibrahim Shah Abu Shah berkata, sejarah dunia membuktikan bahawa negara yang dipimpin kerajaan Islam lenyap begitu sahaja akibat dikuasai oleh orang bukan Islam.

Menurutnya, pada masa ini, parti Melayu berpecah kepada empat dan jika parti lain menguasai PRU14, sudah tentunya negara ini berdepan nasib sama seperti kerajaan Andalusia di Sepanyol, Campa, Selatan Filipina dan Rohingya.

“Boleh bayangkan tak macam mana kita nak dapatkan semula kuasa kalau Umno tewas dalam PRU14? Dah tentu Parlimen mereka yang akan kuasai dan bila mereka berkuasa mereka boleh ubah apa saja polisi termasuk dari segi ekonomi dan sebagainya.

“Apabila mereka dah berkuasa, pada PRU15 Umno atau parti Islam sekali lagi mungkin hanya tinggal beberapa kerusi, manakala selebihnya dikuasai oleh mereka,” katanya pada Seminar Peluasan Perlaksanaan Penglibatan Ibu Bapa dan komuniti (PIBK) dan Pelancaran Majlis Permuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Penjaga (PIBG) Parlimen Sabak Bernam di Dewan Tun Razak, Sabak Bernam.

Ibrahim Shah yang juga Bekas Naib Canselor Universiti Teknologi Mara (UiTM) memberitahu, sejarah Islam membuktikan bahawa sejak Piagam Madinah dibentuk, tiada satu pun insiden pemimpin Islam menganiaya penduduk bukan Islam dan begitu juga dengan beberapa negara Islam lain selepas itu.

“Apabila Islam memerintah hampir 800 tahun di Andalusia, kaum Yahudi dan Nasrani tak lari dari negara Islam, tapi bila Kristian ambil alih semula Andalusia, Orang Islam dibunuh, orang Yahudi pun cabut lari ke negara-negara Arab kerana mereka percaya bahawa kerajaan Islam tak menindas dan menganiaya kaum mereka walaupun berbeza agama,” katanya.

Mengulas lanjut tentang perkara itu ketika ditemui Sinar Harian, Ibrahim Shah berkata, mempertahankan kuasa Melayu dan Islam, bukan sahaja untuk orang Melayu tetapi untuk mereka bukan Islam di negara ini.

“Secara logiknya, negara ini Majoritinya Melayu dan kita telah membuktikan bahawa jika orang Melayu memerintah, kita tak akan menganiaya bukan Melayu, selain kita juga telah membuktikan kita berjaya menjadikan negara kita ini aman, harmoni dan stabil,” katanya.

Jelas beliau, jika pihak lain memerintah negara ini, beliau bimbang keadaan negara akan kucar-kacir.

-Sinar Harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");