Berita Hari Ini

Minta pertimbang petisyen Uber

KUALA LUMPUR – Pengerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Darat (SPAD), Tan Sri Syed Hamid Albar meminta rakyat untuk membuat pertimbangan yang sewajarnya ke atas petisyen perkhidmatan Uber di Malaysia kerana ia akan mengundang masalah pada masa akan datang sekiranya penumpang yang menggunakan khidmat berkenaan mengalami kecelakaan.

Katanya, segala pertimbangan diserahkan kepada rakyat, namun harus diambil kira faktor keselamatan dan jaminan terhadap penumpang.

“Jika ada petisyen untuk membenarkan perkhidmatan Uber di Malaysia, maknanya kamu menginginkan kereta persendirian untuk menjadi teksi, ia bermaksud mengarah ke satu rejim yang mana teksi tidak memerlukan lesen.

“Sebelum mahu petisyen mengenai Uber, kamu semua kena ingat bahawa, ia adalah syarikat luar negara yang berdepan dengan banyak masalah disebabkan masalah lesen di negara lain,” katanya selepas lawatan kerja di Stesen Transit Aliran Ringan (LRT) Awan Besar bersempena Jajaran Baru Ampang di sini, semalam.

Dalam kenyataan Syed Hamid sebelum ini, perkhidmatan Uber di negara ini tidak sah kerana perkhidmatan berkenaan tidak mempunyai lesen untuk membawa penumpang.

Uber Malaysia kini berhadapan dengan masalah apabila SPAD dan juga pemandu teksi Malaysia menentang perniagaan perkhidmatan tersebut.

SPAD turut menyita lebih 100 kenderaan persendirian yang beroperasi sebagai teksi haram di bawah platform perkhidmatan Uber dan GrabCar, sejak Oktober tahun lalu

Satu petisyen dilancarkan Selasa lalu di laman sosial Facebook bagi menentang tindakan SPAD.

– Sinar Harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");