Sukan Hari Ini

Misi atasi 111 pingat emas

KUALA LUMPUR – Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Tunku Imran Tuanku Ja’afar yakin kontinjen negara mampu mengatasi rekod terbaik 111 pingat emas yang dilakar pada Sukan SEA Kuala Lumpur 2001 apabila menjadi tuan rumah sekali lagi pada 2017.

Beliau berkata, sasaran itu tidak mustahil jika pencapaian baik atlet Malaysia pada Sukan SEA di Singapura, Jun lalu dijadikan ukuran bagi ­me­n­­congak pingat yang mampu dijelmakan sewaktu negara bergelar tuan rumah temasya dwi tahunan itu.

“Kita pernah membuktikan yang kita mampu melakukannya pada 2001, mengapa tidak kita mengulangi pencapaian tersebut pada 2017. Bagi saya ia sesuatu yang rea­listik untuk dilakukan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Anugerah Atlet Cemerlang MOM-Toto Sports 2015 untuk Sukan SEA Singapura yang lalu di sini, semalam.

Sports Toto memberi ganjaran wang tunai bernilai RM27,000 kepada 29 pemenang pingat emas Sukan SEA 2015 dalam sukan badminton, akuatik, memanah, olahraga, gimnastik, ekuestrian, billiard, boling, berbasikal, petanque, pelayaran, skuasy, ski air, pencak silat dan wusyu.

Sementara wang tunai RM16,900 diperuntukkan bagi lima pasukan yang memenangi emas iaitu bola keranjang, hoki, sepak takraw dan wusyu.

Menurut Tunku Imran, pencapaian yang dipamerkan atlet Malaysia ketika beraksi di Singapura amat membanggakan dan jika ada dalam kalangan mereka yang tidak berkesempatan untuk membuktikan kehebatan pada temasya di negara Temasek itu, maka peluang berkenaan boleh disempurnakan pada Sukan SEA 2017.

Pada Sukan SEA 2001 iaitu kali terakhir Malaysia bergelar tuan rumah, kontinjen negara mengukir pencapaian cemerlang apabila muncul juara keseluruhan setelah mengumpul 111 pingat emas, 75 perak dan 85 gangsa.

Beliau melahirkan keyakinan ­atlet negara khususnya dalam kalangan atlet muda yang mempamerkan prestasi baik di Singapura mampu melakukan lebih daripada itu ketika beraksi di tanahair nanti.

“Saya yakin bagi atlet muda yang menerima pendedahan di Singapura, mereka mampu melakukan lebih baik pada 2017 nanti. Saya berharap persatuan sukan kebangsaan berusaha ke arah tersebut bagi mencapai sasaran yang diletakkan,” ujarnya.

Mengulas mengenai persediaan Malaysia selaku tuan rumah Sukan SEA 2017, Tunku Imran membe­ritahu, persediaan menganjurkan temasya tersebut masih lagi di peringkat perancangan.

“Kita setakat ini dengan kerjasama persatuan sukan kebangsaan dan sekretariat 2017, sedang giat melakukan tinjauan venue yang sesuai di sekitar Lembah Klang.

“Sasaran kita ialah untuk menaik taraf venue sedia ada tanpa perlu membina fasiliti baharu. Hanya valedrom di Nilai untuk sukan berbasikal merupakan gelanggang baharu,” katanya.

– Utusan Melayu

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");