Sukan Hari Ini

Misi benam Chen Long

Kuala Lumpur: Jurulatih perseorangan Hendrawan tidak akan berputus asa, sebaliknya terus berusaha untuk memastikan jaguh China Chen Long tersungkur di tangan Datuk Lee Chong Wei terutama pada Siri Super Premier Terbuka Denmark dan Siri Super Terbuka Perancis bulan ini.

Hendrawan yang pernah muncul juara dunia pada 2001 mempunyai nasihat mudah buat Chong Wei jika ditakdirkan bertemu pemain nombor satu dunia itu di Denmark dan Perancis – tampilkan tahap kesabaran tinggi.

“Dalam masa sama saya juga akan cuba mempelbagai dan menerapkan corak permainan berbeza buat Chong Wei jika berdepan Chen Long di dua kejohanan itu,” katanya ketika ditemui media di Stadium Juara, Bukit Kiara semalam.

Berdasarkan undian, Chong Wei dijangka bertemu Chen Long pada suku akhir Terbuka Denmark (13 hingga 18 Oktober) dan separuh akhir Terbuka Perancis (20 hingga 25 Oktober).

Hendrawan berkata Chong Wei bukan saja perlu banyak bersabar tetapi dalam masa sama mental dan fizikal turut kena kuat.

“Mungkin menentang pemain lain Chong Wei boleh bermain dengan kepantasan, kekuatan dan serangan yang menjadi kekuatannya, tapi bertemu Chen Long, dia perlu mempelbagaikan permainannya. Dia perlu ada rali, serangan, kepantasan, kekuatan fizikal, mental dan paling penting kesabaran.

“Saya sedar Chong Wei tidak gemar bermain rali atau perlahan, dia lebih suka amalkan corak permainan menyerang dan kepantasan.

“Begitupun, bertemu Chen Long dia perlu lebih bersabar dan perlu mempelbagaikan permainannya,” kata jurulatih kelahiran Indonesia itu.

Sebelum ini Chong Wei terus dibayangi kehebatan Chen Long apabila tumpas ketika aksi final Kejohanan Dunia 2015 di Jakarta Ogos lalu.

Bekas pemain nombor satu dunia itu bulan lalu tersingkir di pusingan kedua Siri Super Terbuka Jepun selepas tewas di tangan seteru utama, Lin Dan dari China sebelum ditunjukkan jalan keluar seawal aksi pertama pusingan kelayakan Siri Super Terbuka Korea Selatan.

Bagaimanapun, Hendrawan tidak mahu Chong Wei terlalu memikirkan mengenai Chen Long saja, sebaliknya fokus satu demi satu perlawanan kerana pemain lain juga mampu membuat kejutan.

“Di Denmark, dia akan bertemu P Kashyap (India) di pusingan pertama dan jika menang akan jumpa Hu Yun (Hong Kong), selepas itu Chen Long.

“Saya mahu dia fokus satu demi satu dan apabila sampai masanya baru fikir mengenai cara mengatasi Chen Long, tidak boleh pandang rendah pemain lain. Sama juga di Terbuka Perancis,” kata Hendrawan.

– Metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");