Isu Panas

Nizar lupa perjanjian?

IPOH – Pemuda Pas Perak mendokong pendirian Pas Perak yang mendesak Adun Changkat Jering, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin supaya meletakkan jawatannya dengan kadar segera.

Ketuanya, Mohd Akmal Kamaruddin berkata, perkara itu jelas kerana Mohammad Nizar memenangi Dun berkenaan bukan atas tiket Bebas sebaliknya mewakili Pas pada PRU13 lalu.

“Malahan umum juga mengetahui mereka tidak bertanding atas tiket individu tetapi mewakili parti bahkan di dalam kertas undi terpampang jelas lambang parti bertanding selain nama calon.

“Jika diamati, apabila calon yang bertanding tidak mewakili parti atau bertanding atas tiket bebas, kebiasaannya calon akan hilang wang pertaruhan setiap kali pilihan raya,” katanya.

Beliau berkata, keengganan Mohammad Nizar meletakkan jawatan membuktikan beliau bukan sahaja mengkhianati Pas bahkan majoriti pengundi di Dun Changkat Jering.

“Beliau sebenarnya telah mengkhianati majoriti pengundi di Changkat Jering kerana bertindak keluar dari Pas tanpa menyerahkan kembali hak mengundi kepada rakyat,” katanya.

Pihaknya turut kesal kerana bekas Timbalan Pesuruhjaya Pas itu mendakwa tidak lagi terikat dengan sebarang baiah selepas keluar daripada Pas.

“Mungkin beliau lupa sebelum dibenarkan bertanding mewakili Pas, calon berjanji meletak jawatan sekiranya keluar parti dan bersumpah dengan nama ALLAH tanpa sebarang paksaan,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Ketua Pemuda Amanah Perak, Mohd Fitri Asmuni pula menyifatkan desakan yang disuarakan segelintir pihak dalam Pas supaya Mohammad Nizar meletakkan jawatan sebagai Adun Changkat Jering memberikan kelebihan kepada BN untuk mengekalkan kuasanya.

“Ia juga secara langsung menjayakan agenda BN untuk mengalihkan isu rakyat seperti 1Malaysian Development Berhad (1MDB), cukai barangan dan perkhidmatan (GST) dan kejatuhan nilai Ringgit Malaysia,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya juga bersetuju dengan kenyataan Mohammad Nizar yang menganggap kemenangan beliau di Dun Changkat Jering berpunca daripada sokongan rakyat setempat dan penyokong PR ketika itu.

“Kemenangan beliau bukan sahaja daripada penyokong Pas malah termasuk dari kalangan pengundi Melayu, India dan Cina yang menjadi penyokong PKR dan Pas,” katanya.

Katanya, beliau berharap semua pihak menghormati mandat yang diberikan pengundi Changkat Jering kepada Mohammad Nizar selaku wakil rakyat di Dun berkenaan.

“Bagi kami suara atau referendum rakyat adalah lebih penting daripada melayan suara-suara sumbang yang seolah-olah memberikan nafas baru kepada BN,” katanya.

Terdahulu, Pas Perak melalui Pesuruhjayanya mendesak Muhammad Nizar dan Ahli Parlimen Parit Buntar, Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa meletak jawatan kerana dikatakan melanggar perjanjian dibuat antara Pas Perak dan Pusat ketika diangkat sebagai calon mewakili parti itu pada PRU13 lalu.

Bagaimanapun, baik Mohammad Nizar mahupun Dr Mujahid menyatakan, tiada keperluan untuk mereka mengosongkan kerusi apabila kemenangan diperoleh adalah hasil sokongan pengundi terhadap Pakatan Rakyat yang kini bergabung sebagai Pakatan Harapan.-sinar harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");