Sukan Hari Ini

Nwakaeme tampil lebih mantap

ORANG Besi Tok Gajah, Dickson Nwakaeme nekad tampil lebih mantap apabila melayan kunjungan PKNS FC untuk pusingan kedua peringkat Kumpulan D bagi kempen Piala Malaysia 2015 di Stadium Darul Makmur, di sini, malam esok.

Penyerang import kelahiran Nigeria itu turut percaya rakan sepasukan turut tidak sabar untuk mempamerkan aksi lebih bertenaga dalam perlawanan itu selepas saingan kempen kembali bersambung setelah berehat dua minggu.

Tidak mahu lagi berputih mata membenarkan lawan merampas tiga mata berharga daripada perlawanan tersebut, kegagalan di tangan Pulau Pinang dengan kekalahan mengejut, 1-4 segera mahu dipadamkan.

Menurutnya, kekalahan sebelum ini memang cukup terasa buat dirinya dan rakan sepasukan lain tetapi episod duka itu mahu segera dilupakan dan kembali bangkit dengan kemenangan di laman sendiri.

“Bukan saja saya, malah rakan lain akan memastikan dua perlawanan di halaman sendiri dimanfaatkan sebaik mungkin untuk meraih mata sekali gus mengisi slot lapan pasukan terbaik.

“Rehat panjang ternyata memberi lebih ruang kepada kami untuk memperbaiki segala kelemahan dan sebagai penyerang, saya akan memastikan sentuhan jaringan lebih berbisa,” katanya.

Menurutnya, segalanya akan cuba dilakukan dengan sebaik mungkin apabila berdepan lawan sama yang sebelum ini tewas 0-2 dalam pusingan pertama peringkat kumpulan pada 19 September lalu.

“Kemenangan Pahang sebelum ini tidak boleh dijadikan ukuran dan membuatkan kami leka sebaliknya perlu lebih berwaspada berdepan lawan yang pastinya tidak mahu pulang dengan tangan kosong,” tegas penyerang berusia 29 tahun itu.

Dalam pada itu, Nwakaeme turut lega dengan situasi kecederaan yang menimpa gandingannya sebelum ini, Matias Ruben Conti sudah semakin pulih sepenuhnya dan yakin penyerang kelahiran Argentina itu dapat memantapkan lagi jentera serangan pasukan.

“Matlamat utama kami ialah untuk memungut tiga mata bagi memastikan slot ke suku akhir dapat segera ditempah buat Pahang,” katanya.-sinar harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");