Jenayah

OKU lemas ketika cuba selamatkan kawan

TANJUNG KLING: Seorang remaja orang kurang upaya (OKU) pendengaran lemas selepas cuba menyelamatkan rakannya ketika mandi di Pantai Puteri, di sini, semalam.

Mangsa, Calvin Ee Lik Yong, 20, lemas selepas tenggelam ketika cuba menyelamatkan rakan sekelasnya, Muhammad Zarif Hamzah, 20, yang dilihat terkapai-kapai di laut dalam kejadian kira-kira jam 9.30 pagi.

Difahamkan, sebelum kejadian penuntut Institut Latihan Perindustrian (ILP) Bukit Katil itu bersama tujuh rakannya berkhemah di pantai berkenaan dan turun mandi di laut kira-kira jam 9 pagi.

Menurut rakan Calvin, Muhammad Hanafi Johar, 21, pada awalnya Muhammad Zarif dan seorang lagi rakan mereka Abd Halim Suhaimi, 20, dilihat lemas dalam jarak 20 meter.

“Saya dapat tarik Halim yang lemas dan lepas tu saya nampak Calvin berlari ke arah Zarif untuk selamatkannya, jadi saya biarkannya tanpa saya sedar rupanya Calvin tak pandai berenang.

“Dalam beberapa saat, Calvin dan Zarif nampak macam saling panjat memanjat antara satu sama lain, Zarif diselamatkan nelayan sementara Calvin tenggelam,” katanya.

Seorang lagi rakan mereka, Ng Yau Kheng, 20, berkata, dia terkilan kerana tidak sempat menahan Calvin menyelamatkan Muhammad Zarif.

“Saya terkilan sebab tak sempat halang dia (Calvin), padahal saya dah jerit larang dia tapi dia tak dengar sebab sebelum mandi dia dah cabutkan alat bantu dengar,” katanya.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Tangga Batu, Penolong Penguasa Bomba Roslan Jalil berkata, pihaknya menerima panggilan jam 10.07 pagi sebelum dan sampai di lokasi 11 minit kemudian.

“Operasi mencari bermula jam 10.22 pagi dan mangsa ditemui jam 12.15 tengah hari kira-kira 800 meter dari tempat dia dilaporkan lemas dan kira-kira 500 meter dari pantai.

“Mangsa ditemui dalam keadaan telangkup oleh anggota Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) hasil makluman orang awam yang melihat objek terapung di laut,” katanya di sini.

Menurutnya, operasi menyelamat itu melibatkan 13 anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Tangga Batu dan Jalan Kubu termasuk enam anggota Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) dan lapan anggota JPAM.

-Sinar Harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");