Jenayah

Padah ragut polis

KUALA TERENGGANU: Dua lelaki yang meragut beg silang milik seorang anggota polis diberkas dalam kejadian di Jalan Sultan Zainal Abidin di sini, awal pagi semalam.

Dalam kejadian jam 1.15 pagi itu, mangsa, 26, sedang minum bersama seorang lagi rakannya di sebuah kafe sebelum dikejutkan dengan kehadiran seorang lelaki tidak dikenali yang terus merampas beg silang yang diletakkan di atas meja.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner Wan Abd Aziz Wan Hamzah berkata, suspek terus melarikan diri ke arah rakannya yang sedia menunggu dengan sebuah motosikal.

“Mangsa bagaimanapun nekad mengejar kedua-dua suspek sebelum menendang motosikal tersebut menyebabkan kedua-duanya terjatuh.

“Mungkin dalam kesakitan, kedua-duanya tidak mampu lagi melarikan diri sebelum mereka diberkas dan diserahkan kepada dua anggota Unit Ronda Bermotosikal Ibu Pejabat Polis (IPD) daerah Kuala Terengganu yang kebetulan tidak jauh dari lokasi,” katanya.

Hasil ujian saringan awal air kencing, kedua-dua suspek berusia 32 dan 34 tahun didapati positif Methamphetamine dan Morphine.

Siasatan lanjut akan dilakukan bagi mengenal pasti sama ada mereka ada terlibat dalam kejadian-kejadian jenayah ragut di sekitar bandar raya ini.

“Ini termasuklah kejadian ragut yang berlaku semalam (kelmarin) di kawasan parkir belakang Pasar Payang yang dilaporkan oleh seorang wanita, berikutan penemuan beberapa plat pendaftaran palsu serta pisau yang dirampas daripada suspek,” katanya.

Wan Abd Aziz berkata, dalam kejadian jam 3.20 petang itu, semasa mangsa sedang keluar dari keretanya, tiba-tiba beg tangan dipegangnya diragut dari arah belakang oleh seorang lelaki tidak dikenali.

“Mangsa cuba menarik semula begnya tetapi tidak berjaya, sebelum suspek melarikan diri dengan sebuah motosikal yang ditunggang oleh seorang lagi rakannya yang sedia menunggu di belakang kereta mangsa,” katanya.

Susulan kejadian, mangsa rugi kira-kira RM29,000 termasuk barang kemas, wang tunai serta turut kehilangan dokumen penting termasuk kad pengenalan, pasport antarabangsa dan beberapa buku akaun bank.

Katanya, kedua-dua suspek direman dan akan disiasat mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan kerana rompakan berkumpulan yang memperuntukkan hukuman maksimum penjara 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.

-Sinar Harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");