Berita Hari Ini

Pastikan Orang Asli tidak terpinggir

MARAN – Pertubuhan Isteri-Isteri Menteri dan Timbalan Menteri (Bakti) merangka program pemantauan untuk memberi sumbangan secara berterusan kepada saudara baru dalam kalangan masyarakat Orang Asli di negara ini.

Ahli Jawatankuasa Bakti Pusat yang juga Pengerusi Jawatankuasa Tadbir Bakti Parlimen Maran, Datin Sri Fatimah Kassim berkata, ia antara sokongan dilakukan Bakti agar golongan saudara baharu Orang Asli tidak merasa tersisih tetapi terbela.

Menurutnya, menjadi tanggungjawab pertubuhan itu bersama agensi kerajaan untuk membantu saudara baru terutama menyediakan kemudahan pembelajaran agama untuk peningkatan sahsiah diri.

“Saudara baru Orang Asli tidak akan dipinggirkan kerana mereka adalah tenaga penting sebagai penggerak bagi membentuk keperibadian generasi akan datang,” katanya pada program lawatan sehari Bakti ke Kampung Orang Asli Batu 55, di sini.

Penduduk, Marlina Jantan, 28, berkata, pemberian sumbangan yang disalurkan Bakti membuktikan hasrat pemimpin bagi meningkatkan taraf hidup mereka.

Menurutnya, ada antara saudara baharu Orang Asli yang kurang mendapat perhatian terutama dari segi tempat tinggal serta kemudahan mempelajari pelajaran agama Islam dan sebagainya.

“Orang Asli mudah dipengaruhi dengan pelbagai anasir termasuklah pengamal agama lain jika sekiranya mereka kurang diberikan perhatian dan pembelaan.

“Usaha Bakti merupakan langkah terbaik di dalam memantapkan pegangan dan ajaran Islam yang dianuti,” katanya.

Bagi Norhayati Lim, 42, program ziarah sedemikian memberi peluang kepada saudara baru mendekatkan diri dengan pemimpin setempat serta boleh mengadukan pelbagai masalah yang dihadapi.

Norhayati yang menumpang di rumah bapa saudaranya berbangsa Tionghoa berhasrat untuk memiliki sebuah rumah sendiri agar memudahkan nya mengerjakan ibadat dengan lebih selesa.

Manakala bagi seorang ibu tunggal, Azamani Awang Kecik, 27, saudara baru memerlukan lebih ramai kawan dan sahabat untuk memberi peluang kepada mereka berbincang dan bertukar tukar pendapat terutama membabitkan isu agama serta hal ehwal semasa berkaitan Islam.

“Saudara baharu Orang Asli masih perlukan bimbingan dalam bidang akidah, solat dan amalan lain yang diperlukan seseorang Islam,” katanya.

-Sinar Harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");