Jenayah

‘Pengajaran pahit buat kamu’

Seremban: “Saya harap kejadian itu menjadi pengajaran pedih dan pahit kepada kamu supaya tidak mengulanginya. Saya juga mengambil kira kesalahan ini serius kerana berlumba bukan saja mendatangkan bahaya kepada kamu, tetapi juga si mati.

“Saya mendapati kematian si mati tiada unsur kekerasan dan ia berpunca daripada perlumbaan. Oleh itu, saya mengambil kira ia sebagai faktor meringankan hukuman,” kata Hakim Datuk Zabariah Mohd Yusof.

Beliau berkata demikian di Mahkamah Tinggi, di sini, semalam sebelum menjatuhkan hukuman penjara empat tahun enam bulan kepada empat rakan yang didakwa menyebabkan kematian kakitangan Kompleks Sukan Nilai di Jalan Labu, di sini, 3 Ogos 2014.

Tertuduh, Helmi Izzuddin Mustafa, 22, Mohamad Faiz Zulkeply, 25, Muhammad Fahmi Norizan, 26, dan Abdul Mueizq Elias, 24, mengaku bersalah terhadap pertuduhan pilihan itu.

Terdahulu, mereka dihadapkan ke mahkamah atas tuduhan membunuh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan sebelum mengaku bersalah terhadap pertuduhan pilihan.

Mengikut pertuduhan pilihan, mereka didakwa bersama-sama menyebabkan kematian Muhammad Amir Fadzli Suhaimi Fadzil, 18, di Kilometer 8, Batu 3, Jalan Labu berhampiran tapak pembinaan Bandar Ainsdale, kira-kira jam 8.30 pagi.

Berikutan itu, mereka didakwa mengikut Seksyen 304(b) Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara hingga 10 tahun, denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Mengikut fakta kes, pada hari kejadian kira-kira jam 2 pagi, semua tertuduh menunggang motosikal secara beramai-ramai berhenti di lampu isyarat Taman Sri Mawar didatangi mangsa yang menunggang Yamaha 125Z seorang diri dan menekan minyak sambil memandang tertuduh.

Muhammad Amir Fadzli dan Helmi yang membawa teman wanitanya kemudian berlumba sebelum tiga tertuduh lain mengejarnya dan mangsa terbabas di lokasi serta meninggal dunia menyebabkan mereka melarikan diri.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Aznee Salmi Ahmad manakala Helmi diwakili peguam Paul Krishnaraja, Mohammad Faiz (Asmawi Ismail), Muhammad Fahmi (PG Jayaprakash) dan Abdul Mueizq (Eddin Syazlee Shith).

-Metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");