Sukan Hari Ini

Peruntukan awal RM45j untuk persiapan atlet

KUALA LUMPUR – Bagi memantapkan persediaan Malaysia menghadapi Sukan SEA 2017, Majlis Sukan Negara (MSN) memperuntukkan RM45 juta bagi Program Kita Juara 2017 untuk fasa pertama yang sudah bermula bulan lalu sehingga September 2016 melibatkan 842 orang atlet negara.

Timbalan Ketua Pengarah MSN, Datuk Abdul Jalil Abdullah berkata, peruntukan tersebut hanya untuk fasa pertama, termasuk RM11 juta bagi elaun atlet dan selebihnya untuk kos peralatan dan lain-lain, manakala bajet fasa kedua dan ketiga akan dimaklumkan kemudian.

Tambah Abdul Jalil, fasa kedua akan bermula pada Oktober 2016 sehingga Mac 2017, manakala fasa terakhir adalah April 2017 sehingga September 2017.

“Sebanyak 39 jenis sukan disenaraikan dalam Program Kita Juara 2017 untuk fasa pertama dan jumlahnya mungkin kekal atau berkurangan selepas jawatankuasa pemilihan Majlis Olimpik Malaysia membuat keputusan pada Februari ini bagi menentukan jumlah sebenar sukan yang bakal dipertandingkan pada Sukan SEA 2017 nanti.

“Semua atlet yang menyertai program ini dipilih berdasarkan lapan kriteria iaitu pemenang pingat Sukan SEA 2015, pemenang pingat Sukan Asia dan Komanwel, pemenang Kejohanan Remaja Asia dan Remaja Dunia, mempunyai ­ranking 16 terbaik dunia, ranking lapan terbaik Asia, ranking lima terbaik Asia Tenggara, juara kebangsaan dan juara Sukan Malaysia (Sukma),” katanya dalam sidang akhbar pengumuman senarai atlet dan jurulatih bagi Program Kita Juara 2017 di sini, semalam.

Dalam pada itu, Abdul Jalil turut memberitahu, program tersebut tidak akan bertindih dengan Program Podium di bawah kendalian Institut Sukan Negara (ISN) berikutan MSN akan melepaskan atlet-atlet terbabit.

“Sesetengah sukan tidak disenaraikan dalam program Podium bagaimanapun apabila ISN telah membuat pemilihan atlet untuk menyertai program tersebut maka kami akan melepaskan atlet yang terlibat.

“Mereka yang terpilih akan diberi elaun serta faedah tambahan bagaimanapun sasaran mereka adalah berlainan kerana kami pada Sukan SEA,” katanya.

Tambah Abdul Jalil lagi, pihak­nya akan memohon pelepasan kepada atlet yang disenaraikan untuk menjalani latihan pada fasa kedua kerana pada peringkat tersebut ke­semua atlet sama ada sepenuh masa mahupun separa masa perlu menjalani latihan pusat.

“Pada fasa pertama atlet separa masa boleh menjalani latihan di tempat masing-masing, manakala atlet sepenuh masa akan berlatih di Bukit Jalil, Keramat untuk memanah serta Langkawi bagi pelayaran bagaimanapun apabila memasuki fasa kedua kesemua atlet tersebut perlu melakukan latihan pusat,” katanya lagi.

– Utusan Malaysia

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");