Berita Hari Ini

PKNS, KPS diarah desak bantahan kenaikan tol

SHAH ALAM – Kerajaan Selangor mengarahkan dua anak syarikatnya meskipun sekadar pemegang saham minoriti dalam konsesi Lebuhraya Shah Alam (Kesas) dan Lebuhraya Damansara–Puchong (LDP) untuk mendesak mesyuarat khas lembaga pengarah membantah kenaikan kadar tol.

Menteri Besar Selangor, Mohamed Azmin Ali berkata, Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) yang memiliki 30 peratus saham minoriti dalam konsesi Lebuhraya Kesas sejak 1993 dan Kumpulan Perangsang Selangor Berhad (KPS) sebanyak 20 peratus dari 1999 memaklumkan bahawa sehingga hari ini tiada sebarang mesyuarat lembaga pengarah diadakan membincangkan kenaikan tol ia sekadar makluman.

“Kenaikan kadar tol berkuatkuasa hari ini tidak dibawa dalam mesyuarat lembaga pengarah oleh itu Majlis Tindakan Ekonomi Selangor (MTES) telah mengarahkan PKNS dan juga KPS untuk menulis surat kepada Kesas dan juga Sprint untuk mendesak satu mesyuarat khas lembaga pengarah dipanggil bagi membincangkan perkara ini dan dalam mesyuarat tersebut kerajaan negeri telah mengarahkan kedua-dua anak syarikat membantah dan menolak kenaikan kadar tol tersebut.

“Walaupun kita adalah pemegang saham minoriti dan tidak mempunyai kata pemutus tetapi mereka perlu mewakili pendirian kerajaan negeri yang tidak membenarkan sebarang kenaikan tol ketika ini,” katanya ketika ditemui selepas mempengerusikan MTES di sini, hari ini.

Beliau yang juga Pengerusi PKNS menegaskan meskipun kerajaan negeri tidak mempunyai kuasa pemutus dan sekadar pemegang minoriti dalam syarikat konsesi lebuhraya namun dasar Selangor membantah kenaikan tol yang tidak bertanggungjawab dan menekan kehidupan rakyat semakin terhimpit akibat kegawatan ekonomi serta kejatuhan nilai ringgit.

“Pertama kita kena tolak dulu bantah dan kemudian kita lihat opsyen lain bagaimana boleh membantu meringankan bebanan rakyat.

“Kita ada mencadangkan dalam MTES bahawa kerajaan persekutuan sepatutnya menggunakan perolehan dari hasil kutipan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) untuk membiayai dan meneruskan pembayaran pampasan kepada syarikat konsesi,” katanya.

Timbalan Presiden PKR itu berkata, dimaklumkan perolehan daripada kutipan GST itu besar lebih daripada RM 6 bilion seperti diumumkan.

“Mengapa tidak menggunakan perolehan GST ini untuk meringankan bebanan rakyat tetapi menggunakan kesempatan seperti ini untuk terus menekan kehidupan rakyat khususnya pengguna lebuh raya.

“Bagaimanapun selaku pemegang saham minoriti dan tidak ada kata pemutus cuma gunakan wakil kita untuk membantah kenaikan tol tersebut dan sama ada berjaya meyakinkan lembaga pengarah itu, ia akan diputuskan dalam mesyuarat akan datang,” katanya.

Beliau menyatakan, keputusan kerajaan persekutuan membenarkan kenaikan kadar tol di 18 lebuhraya di seluruh negara berkuatkuasa hari ini adalah tidak bertanggungjawab dan amat dikesali.

Menurutnya, kenaikan tol di antara 10 sen sehingga RM4.70 hanya akan membebankan rakyat dalam keadaan ekonomi negara yang semakin gawat dan kos sara hidup yang semakin tertekan.

-Sinar Harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");