Isu Panas

PKR tuntut 90 hari semak perjanjian TPP

SHAH ALAM – Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak perlu dipertanggungjawabkan untuk memenuhi segala janji beliau berhubung rundingan perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPP) yang didakwa telah berakhir di Atlanta, Amerika Syarikat, semalam.

Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar menegaskan Najib perlu mengotakan janji yang dibuatnya dalam Sidang Kemuncak APEC pada Oktober 2013 bahawa perjanjian TPP akan dibentangkan di Parlimen sebelum kerajaan menandatanganinya.

“Janji Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (Miti) juga dalam sidang Dewan Rakyat bahawa kerajaan akan menjamin kepentingan negara dan rakyat tidak akan digadaikan oleh perjanjian TPP wajib dituntut.

“Teks bukan sahaja mesti didedahkan; tetapi setiap ahli Parlimen wajib diberikan masa yang secukupnya untuk meneliti kandungan perjanjian tersebut yang dikhabarkan mencecah hampir 1,000 muka surat,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Ahli Parlimen Lembah Pantai itu juga menuntut tempoh 90 hari untuk membahaskan perjanjian itu di Parlimen seperti mana yang diberikan kepada kongres Amerika Syarikat.

“Malaysia tidak boleh ketinggalan dalam usaha memperkasakan kedaulatan negara menerusi demokrasi berparlimen, lebih-lebih lagi apabila nasib negara terikat dengan perjanjian yang melibatkan 12 negara dan penguatkuasaan undang-undang yang merangkumi semua bidang bukan sahaja perdagangan.

“Presiden Obama akan memberikan 90 hari kepada Kongres untuk membahaskan butiran-butiran perjanjian tersebut sebelum menandatanganinya. Rundingan telahpun tamat dan tidak ada sebuah negara pun yang mampu merubah kandungan kepada teks perjanjian tersebut,” ujarnya.

Beliau turut melahirkan kekesalannya apabila rundingan perjanjian itu yang dimuktamadkan semalam tidak dihadiri oleh Menterinya, Datuk Seri Mustapa Muhamad.

“Malaysia sekadar diwakili Ketua Perunding, Jayasiri. Cara sambil lewa menangani perjanjian sebesar TPP menimbulkan keraguan besar berkenaan tatakelola Miti dan kerajaan dalam mempertahan kepentingan Malaysia dalam rundingan,” katanya lagi.

Pada 25 September 2013, Nurul Izzah telah mendesak kerajaan untuk menubuhkan sebuah Jawatankuasa Terpilih TPPA melalui soalannya di Parlimen yang kemudiannya ditubuhkan kerajaan.

-Sinar Harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");