Berita Hari Ini

Promosi Pelancongan, Makanan Malaysia Di Shanghai Tahun Depan

SHANGHAI: Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan merancang mengadakan promosi pelancongan dan makanan Malaysia di sini selama dua minggu pada tahun depan untuk merancakkan lagi industri pelancongan negara.

Menterinya Datuk Seri Nazri Abdul Aziz berkata tarikh yang dirancang ialah selepas Hari Kebangsaan pada 31 Ogos sehingga Hari Malaysia (16 September) bagi mempromosi kesenian dan kebudayaan serta produk dan industri makanan.

‘Minggu Makanan Malaysia’ akan turut diadakan di samping pertunjukan kesenian oleh kumpulan kesenian kementerian, katanya.

“Pelancongan bukan sahaja melawat sesebuah negara bagi melihat bandar atau landskap tetapi makanan juga antara faktor yang boleh mempengaruhi seseorang itu melawat,” katanya selepas merasmikan ‘Pesta Makanan Malaysia’ anjuran Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade), malam Rabu.

Nazri berkata usaha akan diteruskan bagi pengecualian visa untuk pelancong individu atau kumpulan kecil dari China bagi memudahkan kedatangan mereka yang sekaligus akan membantu merancakkan ekonomi Malaysia.

Program visa percuma untuk pelancong dari China yang bermula 1 Oktober lepas tertumpu kepada berkumpulan dengan jumlah 20 orang atau lebih.

Mengenai program pesta makanan Malaysia, Nazri berkata program kerjasama Matrade Shanghai dan Shanghai Marriott Hotel City Centre itu mendapat sambutan yang baik dan kali kedua diadakan.

Beliau berkata program itu yang sebelum ini berlangsung kira-kira tiga minggu pada 2013 kini dilanjutkan kepada satu setengah bulan yang membuktikan warga China tertarik dengan makanan Malaysia.

“Ini cukup penting untuk menarik pelancong melawat Malaysia. Warga China suka makan dan difahamkan mereka suka ke Jalan Alor (Bukit Bintang) dan Ipoh, Perak untuk merasai makanan tempatan,” katanya.

– BERNAMA

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");