Isu Panas

Pulau Pinang diminta tidak politikkan pendidikan

SHAH ALAM – Pas Pulau Pinang mendakwa kerajaan negeri itu menarik kembali bantuan kepada dua sekolah rendah Islam iaitu Sekolah Rendah Islam Al-Ansor (SRIA) dan Sekolah Rendah Islam Bahrul Ulum (SRIBU).

Ketua Penerangan Pas Pulau Pinang, Mohd Yusni Mat Piah berkata, pihaknya kesal dengan tindakan itu dan mempersoalkan kenapa dua sekolah itu dikeluarkan dari senarai penerima.

“Badan Perhubungan Pas Negeri Pulau Pinang (BPPNPP) kesal di atas sikap Kerajaan Pakatan Harapan Pulau Pinang yang secara tiba-tiba menafikan bantuan kewangan tahun ini kepada SRIA dan SRIBU.

“Sesuatu yang aneh, pelik dan meragukan apabila surat makluman pemberian bantuan yang diserahkan kepada wakil SRIA oleh Jabatan Agama Islam Pulau Pinang (JAIPP) pada 3hb September 2015 secara tiba-tiba ditarik balik pada hari yang sama.

“BPPNPP tidak menafikan peruntukkan kepada Sekolah Agama Rakyat (SAR) tahun ini telah diagihkan oleh kerajaan negeri walaupun lewat hingga ke penghujung tahun. Namun, persoalannya mengapa dua buah sekolah ini dikeluarkan daripada senarai penerima?” katanya dalam satu kenyataan.

Awal bulan ini, kerajaan negeri melalui Exco Agama Pulau Pinang, Datuk Abdul Malik Abul Kassim berkata, bantuan yang diberi bukanlah berbentuk geran tahunan sebaliknya atas dasar keperluan.

Katanya, ada sekolah agama di negeri itu yang tidak menerima bantuan dan sesetengahnya pula dikurangkan jumlahnya pada tahun ini kerana perlu mendahului bantuan kepada sekolah agama lain yang lebih daif serta amat memerlukan.

[ARTIKEL BERKAITAN: Isu sekolah agama: Hanya bantuan, bukan geran?]

Dalam pada itu, Mohd Yusni berkata, jika alasan geran diutarakan kerajaan negeri, pihaknya menggesa agar laporan kajian berasaskan keperluan yang dimaksudkan untuk memberhentikan bantuan itu dikemukakan.

“Lebih musykil apabila bantuan yang telah diberikan semenjak 2009 itu, tiba-tiba diputuskan untuk tidak diteruskan pada tahun ini. Alasan diberi, kerajaan Pakatan Harapan Pulau Pinang tidak pernah menyediakan ‘geran tetap’ dan sebaliknya diberikan secara bergilir-gilir berdasarkan keperluan.

“Realitinya semua SAR di negeri ini masih memerlukan bantuan dan sokongan,” katanya.

Pihaknya juga mendesak agar kerajaan negeri dapat bertindak telus dalam isu tersebut.

“Kami juga mengingatkan agar tidak menjadikan politik sebagai alasan untuk menafikan bantuan kepada dua buah SAR ini. Lebih-lebih lagi, masa hadapan lebih 500 pelajar yang kebanyakannya terdiri daripada pelajar miskin termasuk hampir 80 kakitangannya bakal terjejas dari keputusan tersebut.

“Perlu diingat dana yang diuruskan kerajaan negeri adalah milik Rakyat khususnya pembayar cukai termasuk juga terdiri dari kalangan ahli-ahli dan pemimpin Pas,” katanya.-sinar harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");