Berita Hari Ini

Sektor ekonomi digital naik 17%

PUTRAJAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini me­ngumumkan peningkatan sumbangan sektor ekonomi digital kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) kepada 17 peratus pada tahun lalu berbanding 16.38 peratus pada tahun 2013.

Beliau berkata, angka tersebut adalah berdasarkan kepada perangkaan terkini Akaun Satelit Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT) yang dikeluarkan oleh Jabatan Statistik sekali gus membuktikan bahawa Malaysia kini berada di atas landasan yang tepat untuk menjadi sebuah negara maju.

Malah, katanya, kejayaan Malaysia mencapai sumbangan 17 peratus sektor ekonomi digital kepada KDNK lebih awal berbanding sasaran Digital Malaysia empat tahun lalu iaitu pada tahun 2020 juga perlu dijadikan pertimbangan serta bukti terhadap kemampuan negara menerajui bidang tersebut.

“Apa pun, kita jangan berasa selesa dengan kedudukan ini dan untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara ekonomi yang maju adalah amat penting untuk kita menggandakan pengetahuan terutama serta membentuk masyarakat yang mempunyai kemahiran digital melalui ekosistem ICT yang mampan.

“Kita juga perlu memperhebatkan usaha dalam melakukan inovatif, akses serta menerima pakai teknologi digital supaya kita mampu membina masa depan yang cerah untuk diri kita dan negara secara keseluruhan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada mesyuarat Majlis Pelaksanaan Koridor Raya Multimedia Malaysia (MSC) kali ke-27, Perbadanan Pembangunan Multimedia (MDeC) di Bangunan Perdana Putra di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi; Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Dr. Mohd. Salleh Said Keruak; Menteri-menteri Kabinet; Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr. Ali Hamsa dan Ketua Pegawai Eksekutif MDeC, Datuk Yasmin Mahmood.

Dalam perkembangan berkaitan Najib berkata, teras ekonomi digital di negara ini adalah MSC dan sejak penubuhannya pada tahun 1996, agensi itu telah menyumbang lebih RM295 bilion kepada pendapatan ekonomi negara.

“RM283 bilion adalah dalam bentuk pelaburan, pada masa sama membuka lebih 147,000 peluang pekerjaan. MSC juga sentiasa komited dalam usahanya menarik lebih banyak pelaburan khususnya syarikat-syarikat bertaraf dunia yang ada kaitannya dengan industri ekonomi digital,” katanya.

“MDeC akan menyambut ulang tahunnya yang ke-20 pada 2016 dan saya begitu teruja untuk melihat apa yang akan dilakukannya pada masa akan datang,” katanya lagi.

Dalam ucapan tersebut Najib turut menyentuh fenomena penggunaan media sosial yang secara langsung berkait rapat dengan dunia digital.

“Saya telah dimaklumkan setiap minit sebanyak empat juta carian di Google dicatatkan, pengguna Facebook berkongsi 2.46 juta kandungan, Twitter (277,000), pengguna WhatsApp (347,222 gambar), pemilik akaun Instagram memuat naik 216,000 gambar dan pengguna Apple memuat turun 48,000 aplikasi baharu,” katanya.

– See more at: http://www.utusan.com.my/berita/nasional/sektor-ekonomi-digital-naik-17-1.147029#sthash.3pH49gqo.dpuf

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");