Berita Hari Ini

Selesai Cara Rundingan Bukan Fatwa

GEORGETOWN – Isu penggunaan pembesar suara hanya untuk azan dan iqamat boleh diselesaikan secara baik melalui rundingan atau nasihat dan bukan secara fatwa.

Ini kerana apabila fatwa diluluskan selepas melalui langkah tertentu, maka ia wajib dihormati oleh semua penganut Islam.

Pengerusi Pertubuhan Pemikir Muslim Pulau Pinang (PMPP), Mohamad Nor Suhaili Jamali berkata, walaupun isu itu diluluskan mesyuarat jawatankuasa fatwa berdasar 10 aduan diterima pihak berkuasa agama namun, ia perlu dinilai semula demi kebaikan ummah sejagat.

Beliau menghormati keputusan yang dibuat oleh jawatankuasa fatwa berdasarkan kepakaran ahli yang terdapat di dalamnya namun, berharap pertimbangan moral dalam konteks agama itu sendiri perlu diberi perhatian.

“Dalam hal 10 aduan ini, jawatankuasa fatwa boleh menasihati surau atau masjid yang terlibat sahaja tanpa meletakkan keputusan itu bagi seluruh Pulau Pinang. Situasi yang berlaku perlu dilihat secara lebih mikro dan tidak hanya pada sudut inti pati aduan.

“Lagipun kebanyakan surau dan masjid yang terdapat di negeri ini dibina lebih awal atau terlebih dahulu sebelum taman perumahan atau apartmen baharu dibina,” katanya kepada Sinar Harian.

Mohamad Nor Suhaili berkata, seharusnya sebagai lambang penghormatan, individu tertentu perlu memahami konsep sebenarnya.

Menurutnya, sehubungan itu, pihaknya mengharapkan Mufti Pulau Pinang dapat mempertimbangkan semula keputusan yang dipersetujui itu sebelum dibawa ke peringkat selanjutnya.

“Penggunaan pembesar suara di luar masjid dan surau oleh jawatankuasa masjid berniat baik iaitu untuk memastikan kuliah atau acara di masjid dapat didengar oleh umat Islam di sekitarnya.

“Ini juga terangkum dalam cara berdakwah bagi mereka yang tidak hadir ke masjid atau surau. Bagi surau dan masjid yang berada di kawasan yang majoriti Islam, seharusnya ia tidak menjadi masalah besar,” katanya.

Beliau yakin pengurusan masjid atau surau yang menggunakan pembesar suara luar adalah bertujuan menyampai mesej ilmu.

“Kadang kadang masyarakat menjadi hairan kerana apabila ada sahaja isu berkaitan dengan amalan umat Islam yang tidak disenangi oleh segelintir individu, maka umat Islam terpaksa beralah dengan menggunakan hujah berdasar hadis dan sirah.

“Seharusnya nilai saling hormat-menghormati antara kaum dan penganut pelbagai agama di Pulau Pinang perlu di pandang serius,” katanya.

Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Pulau Pinang sebelum ini bersetuju Irsyad hukum yang diputuskan melalui Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri bertarikh 7 April 2011, mengenai larangan membaca al-Quran sebelum Subuh menggunakan
pembesar suara di luar masjid dan surau, perlu ditambah baik dengan memasukkan larangan menggunakan pembesar suara di luar masjid dan surau, bagi semua program seperti qiamullail, tahajud, kuliah, mesyuarat dan seumpamanya.

-Sinar Harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");