Sukan Hari Ini

Silap langkah undang padah

Kuantan: Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) perlu bijak dan lebih teliti sebelum memutuskan jurulatih asing benar-benar layak serta berkemampuan memikul tanggungjawab membimbing skuad Harimau Malaya.

“Jika tersilap pilih, impian untuk melihat pasukan negara melakar kejayaan di pentas antarabangsa pasti tidak akan menjadi kenyataan, sebaliknya mengundang kerugian besar dari segi kewangan dan masa.

“Sebagai contoh, nama bekas jurulatih Johor DT (Johor Darul Ta’zim) dan Kelantan Bojan Hodak. Saya berpendapat jurulatih berkenaan sebenarnya tidak layak memikul tugas berat dan mencabar itu.

“Rekod beliau sepanjang berada di negara ini tidak begitu membanggakan. Hanya individu tertentu yang dilihat meminati jurulatih berkenaan,” kata bekas pemain kebangsaan Datuk Jamal Nasir Ismail (gambar).

Beliau berkata, untuk mendapatkan jurulatih asing terbaik, FAM perlu melihat dari pelbagai sudut terutama membabitkan rekod pencapaian pasukan yang pernah dibimbing di peringkat kelab dan negara.

Katanya, kehadiran jurulatih import ada baik dan buruknya, justeru sikap terlalu mengangkat pengendali berkenaan tidak seharusnya berlaku sehingga seolah-olah memperkecilkan tenaga tempatan.

“Saya ingin menasihatkan jawatankuasa pemilihan jurulatih FAM supaya tidak terlalu tergesa-gesa dan ghairah mendapatkan jurulatih import hingga mengundang padah.

“Akhirnya angan-angan untuk melihat Harimau Malaya kembali dihormati seperti dulu tidak menjadi kenyataan sebaliknya boleh mengundang kritikan panas pelbagai pihak,” katanya.

Jamal Nasir berkata, sebagai bekas pemain, jurulatih dan pengurus pasukan, beliau berpendapat kejayaan pasukan bergantung sepenuhnya kepada pemain kerana mereka yang beraksi di tengah padang.

Menurutnya, pasukan yang mempunyai barisan pemain berkualiti dan diuruskan dengan sempurna pasti akan berjaya tanpa mengira siapa jurulatih.

– Metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");