Membawang Hari Ini

Siti nekad teruskan konsert

Meskipun Konsert Muzikal Siti Nurhaliza yang dijadual berlangsung pada 4 hingga 11 November ini ditunda berikutan tiada penajaan, penyanyi nombor satu negara, Datuk Siti Nurhaliza, 36, tidak patah semangat merealisasikan impiannya itu.

Tegas Siti biar apa pun yang berlaku, dia tidak akan membatalkan konsert berkenaan sebaliknya terus berusaha mendapatkan penajaan.

“Andai hujung tahun ini belum dapat penaja saya dan pasukan Siti Nurhaliza Production akan cuba lagi tahun depan. Lambat cepat, tidak kisah kerana apa yang penting ia dapat dilaksanakan.

“Bukan apa, ini satu-satunya persembahan yang menjadi impian sejak dulu kerana ia membabitkan perjalanan hidup saya,” katanya.

Menurut Siti, walaupun ada sedikit rasa terkilan apabila konset itu terpaksa ditunda, dia akur apabila sudah berusaha berbulan lamanya.

“Apa terjadi saya anggap ada hikmah di sebaliknya dan melihat ia dari sudut positif. Jika ia dapat direalisasikan, saya boleh tampilkan persembahan lebih bagus.

“Saya faham agak sukar mendapat tajaan dalam keadaan ekonomi sekarang,” katanya.

Tidak mahu menghampakan peminat, dengan bantuan Istana Budaya konsert itu digantikan dengan Konsert Satu Suara Volume 2 yang menelan belanja sebanyak RM500,000.

Kesinambungan konsert sama pada 2010, persembahan kali ini menampilkan dua legenda muzik iaitu Datuk Ramli Sarip dan Hetty Koes Endang.

“Insya-Allah jika tiket habis dijual, kami merancang tambah satu malam lagi. Apa pun tengok kepada keadaan semasa juga.

“Walaupun hanya berlangsung selama dua hari, saya harap peminat dapat datang dan memberi sokongan. Saya janji memberikan persembahan terbaik bersama Datuk Ramli dan Hetty.

“Ini persembahan berskala besar pertama saya bersama mereka. Satu penghargaan buat saya apabila mereka bersetuju terbabit dalam konsert ini,” katanya.

Berkenaan pemilihan dua bintang tersohor itu, Siti memberitahu dia memikirkan konsep terlebih dahulu sebelum mencari penyanyi sesuai.

“Apabila saya terfikir nama mereka, saya terus menghubungi mereka. Datuk Ramli terus menyatakan persetujuan, malah memberi idea untuk persembahan nanti.

“Hetty pula, saya berhubung terus dengannya. Saya berterus-terang masalah yang berlaku. Apabila saya memberitahu niat dan tujuan sebenar, dia tak berfikir panjang untuk menerima tawaran saya. Malah katanya, dia sudi membantu,” katanya.

Sambung Siti, dia mengharapkan konsert itu nanti mencatat satu lagi sejarah indah sepanjang 20 tahun melakar nama sebagai penyanyi.

“Apabila ada dua legenda dalam satu persembahan, ia pasti jadi lebih hebat. Saya beruntung kerana pada usia ini dapat berkongsi pentas dengan mereka. Sebelum ini saya membesar dan sering menyanyikan lagu mereka.

“Saya sudah merasakan debaran itu. Risau juga jika persembahan saya tidak setanding mereka. Pada waktu sama, saya teruja mahu berduet dengan mereka,” katanya.

Persembahan berdurasi dua jam itu nanti menyaksikan lebih 20 lagu bakal dinyanyikan termasuk medley.

Seperti biasa, Siti menggunakan khidmat komposer ternama, Aubrey Suwito sebagai pengarah muzik.

“Kebiasaannya, seminggu sebelum konsert saya memulakan latihan bersama pemuzik di studio. Memandangkan Hetty berada di Indonesia, jadi gubahan lagunya dihantar menerusi e-mel.

“Lagu solo saya berikan kepada kepada mereka untuk memilih. Cuma untuk lagu duet kami berbincang,” katanya.

Tiket menyaksikan Konsert Satu Suara Volume 2 boleh dibeli mulai 9 Oktober ini menerusi AirAsiaRedtix dengan harga RM78, RM108, RM218, RM238, RM258, RM278, RM338 dan RM518.

Dalam perkembangan lain, Siti tercalon dalam lima kategori Anugerah Planet Muzik 2015 yang bakal berlangsung pada 9 Oktober ini.

“Tipu kalau saya kata tak menaruh harapan tinggi. Apatah lagi acara ini membabitkan tiga negara. Seperti semua sedia maklum, calon finalis bukan calang-calang.

“Daripada situ wujud persaingan sengit membabitkan muzik dan lagu. Kalau tak berjaya di APM, saya lihat ia dari sudut positif. Setidak-tidaknya saya boleh tahu lagu berkualiti dari negara serantau,” katanya.

Lima kategori itu adalah Lagu Paling Popular (Jaga Dia Untukku dan Seluruh Cinta duet dengan Cakra Khan), Artis Wanita Terbaik, Kolaborasi Terbaik Artis (bersama Cakra Khan), Kolaborasi Terbaik Lagu (Engkau) dan Duo Terbaik (juga bersama Cakra Khan).

-Metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");